test

Memaparkan catatan dengan label Minyak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Minyak. Papar semua catatan

Selasa, 9 Disember 2008

Kusangkakan Semua Orang Sudah Tidak Mahu Harga Minyak "Stabil" .. Malaysiakini

Sejak berlakunya perubahan harga minyak dari rendah kepada tinggi dan kemudiannya rendah semula. Ramai yang lebih menyukai harga minyak yang rendah tanpa lupa polisi "harga minyak stabil".

Mahu rendah, mahu rendah, mahu rendah.

Rupanya masih ada lagi manusia yang inginkan harga minyak stabil sambil mencadangkan satu dana khas ditubuhkan. Ianya seolah-olah mengembalikan situasi seperti awal 2000. Dan tidak semestinya krisis turun naik tidak berulang.

Kalau ada dana sekali pun, pasti apabila berbezaan harga semasa dengan harga subsidi yang ketara akan menyebabkan berulangnya kenaikan harga minyak.

Rakyat Malaysia perlu pilih antara 2

1. Polisi harga minyak stabil
2. Polisi harga minyak berubah-ubah

Bukannya polisi harga minyak murah atau mahal.

Sabtu, 6 Disember 2008

Mutaligat & Zubli Ketagih Politik Harga Minyak?

Kerajaan Tagih Subsidi atau Mutaligat Ketagih Politik Harga Minyak?
Atau Zubli yang lebih ketagih politik harga minyak?


Pengasas politik harga minyak di Malaysia adalah Anwar Ibrahim, dia yang banyak cakap fasal turunkan harga minyak.

Apabila harga minyak turun, tetapi harga barang tidak turun, maka ia menunjukkan teori Anwar Ibrahim gagal.

Namun, masih boleh bagi penagih politik harga minyak untuk meneruskan ketagihannya dengan cara:-
1. Terus salahkan BN bila harga barang tak turun, tanpa menunjukkan bahasa teori Anwar gagal
2. Terus mengatakan kerajaan ambil subsidi apabila harga minyak semasa lebih rendah daripada harga semasa.

Eh tunggu,
Kejadian harga minyak semasa lebih rendah daripada harga runcit petrol telah berlaku berbelas yang lalu.

Ketika tahun 90an sebelum berlaku krisis kewangan 1997, harga minyak semasa juga rendah daripada harga runcit.
Bayangkan harga minyak dunia ketika itu adalah dibawah USD 30, dan tukaran ringgit dengan USD adalah dalam lingkungan 1 USD = RM 2.50 - RM 2.60. Harga minyak semasa rendah berbanding harga runcit, dan hanya diturunlan 3 sen sahaja kepada RM 1.10.

Disebabkan wujudnya polisi harga minyak tetap, maka ianya dibiarkan sahaja.

Dan disebabkan ramai yang masih mampu, tidak pula kedengaran persoalan kerajaan tagih subsidi daripada rakyat ketika itu.

Politik harga minyak tidak dijadikan satu ketagihan ketika itu.

Apabila berlakunya krisis 1997/1998 harga minyak naik 10 sen dari RM 1.10 ke RM 1.20 punca utama ialah kejatuhan ringgit. Harga minyak semasa tidak lagi semurah dulu apabila ringgit jatuh.

Apabila berlakunya pengembalian harga minyak daripada "dirt cheap" ke harga sepatutnya, maka harga minyak dunia naik sedikit demi sedikit mencecah 140 USD.

Namun politik harga minyak dimainkan supaya minyak murah, apabila kerajaan beri subsidi, tetap dipersoalkan kenapa minyak naik. Akan tetapi apabila turun, kerajaan akan dipersoalkan kenapa harga minyak masih lambat turun.

Mana dia polisi harga minyak tetap yang mengstabilkan harga minyak Malaysia sejak berpuluh tahu yang lalu?
Adakah ia mahu digantikan dengan polisi harga minyak apung?

Itu persoalannya. Kalau mahu harga minyak runcit ikut harga minyak dunia, maka kita perlu rela harga minyak runcir mencecah RM 3.10 ketika puncak dahulu.

Kalau mahukan polisi harga minyak tetap, satu harga tetap perlu dicadangkan dan ianya tetap sepanjang tahun.

Sekarang ini, politik harga minyak terlalu populis, mahu yang urah sahaja, tetapi tidak mahu tinggi.

dan 90% faktor turun naik harga minyak dalah bergantung kepada USD, dab bukannya penawaran dan permintaan.

Tidakkan kita rasa bodoh apabila terikut rentak Amerika.

Harga minyak dunia dalam USD turun kerana nilai USD naik.

Amerika seperti biasa mahukan harga minyak rendah supaya boleh beli apa-apa dengan duit yang dicetaknya. Sudah dibailout bertrilion pun nilai USD masih tinggi.

Jadi sebagai blogawan PAS, yang mendokokng Islam, saya lebih suka PAS menjurus kepada Muamalat, harga minyak tidak tetap dan matawang ialah emas.

Pernah tengok graf harga minyak dalam emas?
tengok yang kuning

Annual average cost of crude from 1946 to 2008


Harga minyak dalam gram emas lebih kurang tidak meningkat sejak berdekad yang lalu.

Kalau kita guna Dinar emas dan Dirham Perak, maka harga minyak mungkin tidak dijadikan persoalan.

Rakyat yang tentukan nak undi parti politik pro ekonomi Keynessian atau sebaliknya.
 Tapi apa yang rakyat ada hanyalah politik yang pro keynessian tetapi sedikit populis.

Ahad, 30 November 2008

Dziauddin Sharif Pakatan Dinar atau Barisan Dollar?

Pagi tadi saya terkejut membaca catatan Saudara Dzaiauddin Sharif berkenaan tindakan OPEC ingin mengurangkan bekalan dikatakan sebagai "Perbuatan keji".

Saya menghormati pandangannya namun saya tidak bersetuju.


Seperti yang saya faham, harga minyak dunia dalam USD turun kerana kenaikan melampau USD akibat daripada penjualan saham berleluasa, dan meningkatnya permintaan "Tunai" sebagai alternatif pelaburan.

Apabila saham jatuh, pelabur menjual saham yang ada dan menyimpan tunai USD secara fizikal, kerana takut bank muflis.

Banyak komoditi jatuh akibat kenaikan melampau USD termasuklah getah dan kelapa sawit.

Harga emas kurang jatuh kerana ia menjadi pilihan "save heaven" bagi pelabur selain daripada tunai.

Fenomena ini  digelar "False Dollar Rally".

Ini  menjadikan nisbah harga minyak berbanding emas begitu rendah, maka harga minyak rendah.

Apabila OPEC melihat harga minyak hanya pada USD, maka mereka seolah-olah mengiakan supaya mereka diliwat oleh Amerika lagi.

USD adalah punca Amerika mempeolehi minyak murah selama 22 tahun , dan kemudian akan sambung lagi?

Cuba lihat situasi sekarang, Amerika dalam krisis, Saham jatuh, Bank muflis sana sini, Citi Bank tidak di selamatkan oleh Bank K, akan tetapi, nilai Dolarnya tinggi supaya boleh membeli segala mak nenek komoditi dalam dunia ini dengan murah.

Bagi saya mereka boleh diibaratkan meminta masa tambahan supaya tidak tergolek.

Amerika yang keji, bukan OPEC.

Tiba masa OPEC atau pengeluar minyak bukan OPEC seperti Malaysia melihat harga minyak dalam dinar.
Mana cartanya?

Takkanlah semua hendak diharapkan pada Umar Vadillo, mungkin kita perlu sediakan.

Isnin, 24 November 2008

Politik Harga Minyak: Lim Guan Eng Merepek Macam Shahrir Samad

Di beritakan di Harakah bahawa Lim Guan Eng mengatakan harga minyak runcit sepatutnya RM 1.52 berdasarkan pada harga minyak dunia 2005.
"Ini ialah harga di pam apabila harga minyak berada berada di bawah AS$50 setong pada tahun 2005,"kata Lim dalam satu kenyataan hari ini. 
Ayat ini agak kelakar.
Tambahnya, kegagalan untuk menurunkan harga minyak hanya akan menimbulkan persoalan iaitu kenapakah kerajaan boleh bertindak cepat untuk menaikkannya tetapi agar sukar untuk menurunkannya. 
Atas dasar populis BN, mereka tidak menaikkan harga minyak pada sepanjang 2007, kerana sudah berjanji harga minyak tidak akan dinaikkan. (10 bulan)

Kemudian mereka kena tunggu sehingga mac kerana pilihanraya. (3 bulan)
Kemudian mereka kena tunggu beberapa bulan baru naikkan harga minyak 78sen. (2 bulan)

Maksudnya mereka tunggu 15 bulan baru naikkan harga minyak.
15 bulan itu cepat?

Apa sudah jadi ahli politik zaman sekarang, kerjanya menentukan harga minyak yang kononnya tetap.

Ada baiknya mereka berbahas samada mahu apung terus tatau tidak.
Atau ada kaedah lain, berbanding kaedah kononnya tetap tapi perlu ada campurtangan ahli politik untuk menetapkannya.


 Apa guna ada polisi harga minyak tetap, kalau dalam setahun 48 kali ditetapkan oleh ahli politik?

Isnin, 20 Oktober 2008

Krisis Ekonomi : Bersedia Untuk Kemungkinan Terburuk

Apabila kita melihat cara hidup masyarakat hari ini, seolah-olah tidak akan berlaku krisis ekonomi. Beberapa jaminan diberi seolah-olah kita akan betul-betul terselamat daripada krisis ekonomi.

Sebenarnya kita tidak boleh meramalkan bentuk apa krisis ekonomi akan berlaku terutama sekali yang berkaitan dengan komoditi.

Krisis Ekonomi berlaku apabila harga komoditi terlalu rendah atau harga komoditi terlalu tinggi?

Ketika zaman harga minyak melonjak ke tahap USD 140 setong dulu, ramai diantara kita yang berasa susah akibat kenaikan harga minyak. Tanpa disedari ianya sebenarnya rahmat bagi negara yang kaya dengan komoditi Minyak, getah, sawit.

Kini berlaku kejatuhan harga. Ada yang bersorak gembira harga minyak diturunkan malah mahu minta diturunkan lagi tanpa menyedari nasib penoreh getah.

Yang mana satu hendak digelar krisis ekonomi? semasa ia tinggi atau rendah?

Daim sudah kata "Prepare for the worst".

Tidak dapat dibayangkan bagaimana "the worst" itu.

Tetapi mari kita bayangkan juga bagaimana rupanya the worst itu, supaya kita boleh lebih bersedia. Walaupun the worst tidak semestinya berlaku tapi bersedialah sedikit.

"The worst" yang tidak mustahil.

1. Ringgit jatuh, Inflasi seperti Zimbabwe
2. Kejatuhan harga komoditi melampau atau kenaikan harga komoditi melampau.
3. Pengangguran bertambah.
4. Pekerja kilang "makan basic".
5. Maybank muflis.
6. ASB runtuh (collaspe)
7. Kilang-kilang ditutup
8. Sektor Insurans runtuh
9. Bekalan makanan terhad
10. Ramai orang kena tarik kereta atau sebaliknya Bank tidak mahu tarik kereta kerana ia akan lebih rugi.
11. Guru sekolah mogok.
12.
13.
14. (sila isi diruangan komen)


Apa lagi yang anda boleh fikirkan "the worst" itu? Sudahkah bersedia?
Cukup Rizab Bank Negara untuk mengatasinya?

Satu lagi persoalan yang saya sering fikirkan. Atas sandaran apakah Bank Negara memberi Jaminan pendeposit bank boleh dijamin sehingga 2010?

Berbanding singapura, Mereka telah asingkan USD 101 bilion.

SINGAPORE (AFP) – Singapore on Thursday set aside 150 billion dollars (101 billion US) to guarantee all bank deposits in the city-state until the end of 2010, but insisted the banking system here remains sound.

Selasa, 7 Oktober 2008

Tahi Lembu Telah Jatuh Dari Amerika Kelepap Melekat ke Muka Penoreh Getah Malaysia

"Wahai Datuk ahlil nujum marang kerapu kepunden marang sekepot
semalam beta telah bermimpi setompok tahi lembu telah jatuh dari langit kelepap melekat keatas muka beta. Apa itu tok nujum?"


"Menurut amalan patik, tuanku akan ditimpa masalah ekonomi."

"Tidak, Tidak, Tahi lembu itu tidak betul betul melekap  dimuka beta, hanya sipi-sipi kena bahu beta. Apa itu tok nujum"

"Kalau kena sipi, Alamat tuanku terkena demam kekurangan FDI."

"Tidak tidak, Sipi pun tidak
Sebenarnya beta ketik
kelepak jatuh kemuka peniaga getah."

"Itu alamatnya peniaga getah akan rugi."

----

Apa yang terjadi sekarang ini adalah harga getah turun. Kenapa ia turun, jawapannya sama dengan jawapan kenapa harga minyak dunia turun.

Minyak dan getah kedua-duanya komoditi.

Harga getah turun kerana nilai ringgit naik (berbanding dgn matawang bukan USD) akibat daripada kenaikan sementara USD.

Kenaikan sementara USD adalah kerana pelabur amerika menjual pegangannya di Asia. Mereka menjual pegangannya di Asia kerana krisis ekonomi di Amerika.

Atau dalam erti kata lain "Tahi Lembu dari Amerika kelepap ke muka penoreh getah"

Tahi lembu itu, walaupun Najib sudah kata bukan terkena sipi, tetapi terketik ke muka peniaga getah.

Kemana penoreh getah nak jual getah kalau bukan kepada pembeli?

Sampai bila nilai dollar nak sementara itu akan turun?
Tidak tahu.
Mungkin beberapa bulan, setengah tahun setahun. Mungkin lebih.

Akan tetapi kalau penoreh getah cukup berani, mereka boleh menyimpan getah mereka selama tempoh itu.

Atau, hanya menjual 90% daripada getah yang ditoreh, 10% disimpan sedikit demi sedikit sehingga habis tempoh itu.

Ada berani?

---

Lihat video asal

Jumaat, 3 Oktober 2008

Kenaikan Dollar Sementara == Penurunan Harga Minyak Dunia Sementara



Seperti biasa apabila harga minyak dunia turun, banyak catatan blog menggesa Pak Lah menurunkan harga minyak seberapa segera.

Di atas adalah graf matawang Amerika Berbandin Dollar Australia.
Beberapa hari lalu, terdapat kenaikan seketika harga minyak sehingga mencecah 120 kemudia dia akan turun balik.
Hari ini ia berada pada tahap 94 USD.

Graf USD berbanding AUD ini memang tidak menggambarkan 100% harga minyak, akalu tetai sekiranya permintaan dan penawaran kekal, dan nilai AUD kekal, maka nampak jelas penurunan harga minyak adalah disebabkan kenaikan dollar.

Sebelum ini saya mushkil juga bagaimana Dollar boleh naik ketika berlaku krisis.

Seorang penganalisis ekonomi di Astro Awani tadi menceritakan bahawa Dollar naik akibat daripada pelabur amerika yang menjual kepentingannya di Asia. buat masa ini tak dapat saya nak berimaginasi bagaimana permintaan terhadap dollar Amerika meningkat apabila mereka melepaskan pegangan ekuiti.

Katanya, Dollar akan tetap jatuh dalam jangkamasa panjang, setelah pelepasan pegangan ekuiti oleh pelabur amerika akan selesai.

Ada logiknya.

Dia tidak dapatmenjangka sampai bila rally USD ini akan berakhir. mungkin setahun?

Mungkin atas sebab yang sama saham di Asia jatuh.

Sebentar lagi akan ada undian draf ke 2 pelan penyelamat 700 bilion.
Kita nantikan keputusannya.

Khamis, 25 September 2008

Apabila Harga Minyak Ditentukan oleh Politik

Harga minyak baru diturunkan 10 sen selepas mesyuarat kabinet. Dalam erti kata lain, orang politik yang duduk dalam kabinet itu menentukan bila dan berapa harga minyak dinaikkan atau diturunkan.

Dulu kononnya harga minyak dikekalkan pada tahap harga minyak semasa - 30 sen. Namun tiap kali ianya hendak diubah, perlu mensyuarat kabinet.

Apa pandangan pelabur?

Pakatan Rakyat pula turut mempolitikkan harga minyak dengan menurunkan secara pengsubsidian tambahan.

Dipendekkan cerita, kiri kanan harga minyak ditentukan oleh ahli politik.

Kiri kanan sibuk cerita tentang pelabur asing tetapi kiri kanan tidak mesra pelabur.

Kalau benar Kerajaan semasa telah menetapkan subsidi kekal pada 30 sen, sambil meletakkan harga syiling tahun ini, maka kekalkanlah ia.

Mengapa perlu dibundarkan kenaikan harga minyak kepada 5 sen terdekat?

Bukankah ianya lebih menampakkan ianya ditentukan oleh ahli politik berbanding pasaran?

Perbezaan kenaikan/penurunan 15 sen dan 10 sen memang terlalu tinggi kalau dikira secara bulanan.

Ada cadangan lain supaya ia berasaskan minggu atau 2 minggu sekali.

Takkanlah kalau seminggu sekali perubahan harga kabinet perlu bermesyuarat?

Saya lebih suka harga berubah pada masa yang lebih pendek, seperti 1 minggu atau 2 minggu. Namun harga itu bukanlah berdasarkan harga semasa, tetapi berdasarkan "moving average" 3 bulan.

Maka barulah nampak harga benar-benar berubah dan perubahan itu akan menjadi lebih kecil , kurang dari 5 sen setiap minggu.

Rabu, 24 September 2008

Sampai Bila Harga Minyak Perlu Ditetapkan Selepas Mesyuarat Kabinet?

Bukankah Kabinet membentuk dasar dan  kaedah?

Kalau dulu sudah tetapkan sebulan sekali harga - 30 sen, mengapa perlu tunggu mesyuarat kabinet untuk tentukan harga?

Tetapkan sahajalah satu kedah penentuan harga berdasarkan dasar yang ditetapkan. Tahu lah pegawai kerajaan lakukan tugas.

Mengapa perlu tiap-tiap bulan hari rabu minggu ke 3 atau 4, hari tentukan harga minyak?

Untuk tentukan harga tepung, pada mesyuarat kabinet minggu ke berapa?

Selasa, 23 September 2008

Pemuda PAS WP Terlewat Beberapa Jam

Kasihan pula melihat Pemuda PAS WP, bersungguh-sungguh menghantar memorandum penuh fakta kepada Shahrir Samad.  Dengan mengambil contoh bahawa Harga Minyak masih lagi dibawah seratus Dollar Amerika.

Apa yang berlaku awal pagi tadi, sebelum subuh, waktu bersahur, Harga minyak dunia telah melonjak sehingga ke paras 130 USD dan menstabil sedikit.

Kemudian ketika catatan ini ditulis harga minyak dunia berada pada tahap USD 120.92

Walaubagaimanapun tahniah diucapkan kepada  Pemuda PAS WP kerana berusaha.

Ahad, 21 September 2008

Hutan dan Minyak

Hari ini saya berbangga menjadi blogawan Melaka kerana wujudnya 2 penulisan blogawan Melaka yang cukup berkualiti.


 
 
 Selamat membaca.

Sabtu, 20 September 2008

Harga Unta dalam USD Juga akan naik?

Kepada sesiapa yang pernah baca catatan lama berkenaan apa yang naik kalau saham dan emas turun, pasti faham kejatuhan harga minyak adalah berpunca daripada kenaikan dollar Amerika.

Bandingkan Graf di bawah dengan Graf USD berbanding AUD di catatan itu.


Fenomena kenaikan dollar ini digelar sebagai "False Dollar Rally" ata "false dollar hope" dalam erti kata lain, Peluang beli emas.

False Dollar Rally kelihatan seperti akan berakhir, Dollar mula jatuh, dan apa yang turun ketika false dollar rally akan naik.
Dalam beberapa hari ini, Emas naik macam ular tedong, minyak naik sehingga mencecah USD 104, Saham mula naik hari ini.

Lihat pada graf itu, Dollar hanya turun sedikit sahaja, tetapi Minyak naik dari 93 hingga 104. Emas sudah naik sehingga 880.

Itu hanya baru sedikit penurunan Dollar,

Sekiranya ia tiba kepada purata 200 harinya,(warna hijau) pasti harga minyak dalam USD sekitar USD 14x , harga emas mencecah 9xx. Atau mungkin lebih.

Tanyalah Saudagar unta yang girang menyanyi tentang harga unta.

Harga minyak tempatan bagaimana?
Mati lah kita januari ini kalau polisi matawang masih sebegini.

Khamis, 18 September 2008

Shahrir Samad Sudah Pandai Bercakap Soal Matawang - Malaysiakini & Kosmo

Dulu Malaysiakini: K'jaan dijangka turun lagi harga minyak


Namun di Kosmo:

Minyak turun sebelum raya


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad berkata, kerajaan tetap komited dengan cadangan penurunan itu walaupun penyusutan nilai ringgit memberi kesan kepada ekonomi negara.
"Kita sedar harga minyak dunia kini berada di bawah paras AS$100 setong tetapi Ringgit juga mengalami nasib yang sama.

"Tetapi perkara ini sedang diteliti, saya percaya harga baru dapat diumumkan sebelum hari raya ini," katanya di sini semalam.

Menurutnya, jika matawang negara mencatatkan pengukuhan semula, beliau percaya tiada masalah untuk kerajaan melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Semalam, minyak dunia didagangkan pada harga AS$92 (RM310.04) setong tetapi pada masa yang sama Ringgit pula diniagakan pada RM3.50 berbanding AS$ 1, susut 30 sen berbanding awal bulan lalu.


Ketika musim sibuk menjelaskan "Pengstrukturan Subsidi" soal matawang langsung tidak diperkatakan. Seribu satu faktor dijelaskan tetapi tiada unsur matawang.

Siapa agaknya yang mengatakan Matawang adalah faktor utama kenaikan Harga minyak kepadanya?

Apa kata Menteri Kewangan yang baru tentang nilai Ringgit?

Harga minyak dunia dalam USD merosot kerana USD meningkat, bila USD meningkat, memanglah Ringgit merosot berbanding USD.

Selasa, 9 September 2008

Kesan Bail Out Fannie dan Freddie Terhadap Batang Hidungmu

Telah diberitakan bahawa "The Fed" akhirnya bersetuju untuk "bail out" Fannie dan Freddie, 2 firma pinjaman yang sedang mengalami kegagalan demi kepentingan rakyat Amerika. Ianya sebanyak 200 bilion USD.

Di Amerika, bail out bukanlah satu proses dimana suatu dana diambil daripada sumber tertentu untuk diberikan kepada firma yang menerimanya. Mereka mewujudkan duit daripada tiada ke ada. Dalam erti kata lain, duit USD 200 bilion itu diambil daripada /dev/null.

Untuk orang kampung, dipendekkan cerita, Amerika cetak duit lebih.

Bail out yang begitu banyak  akan meningkatkan M3 Dollar Amerika.

Kalau siapa yang pernah baca blog ini, dia akan faham, kenaikan M3 Dollar Amerika akan menyebabkan kenaikan harga minyak dunia.Akan tetapi kenaikan itu bukanlah serta merta, kerana Amerika akan membiarkan satu situasi diamana duitnya banyak dan harga murah. baca: Pak Arab kena tipu lebih 20 tahun,

Lihat carta M3 USD berbanding harga minyak dunia.

 

Ramai yang berasa lega apabila harga minyak dunai dibawah USD 110. Namun bagi saya kelegaan itu adalah sementara kerana harga yang sepatutnya ialah 120,  itu pun pada sebelum bail out 200 bilion itu.

Ya, dia akan "sideway" atau "stabil" untuk sekian waktu, akan tetapi ia akan berada pada harga yang sepatutnya jua.

Apabila meningkatnya M3 USD, lambat laun nilai USD akan jatuh sedikit demi sedikit.

Sepatutnya, kalau dasar matawang kita baik, harga minyak dalam ringgit tidak akan naik apabila USD merosot.
Akan tetapi apa yang berlaku sekarang ialah, setiap kali M3 Dollar Amerika meningkat, kesannya harga minyak dalam ringgit juga meningkat.

Kalau harga minyak dalam ringgit hendak dikekalkan menggunakan "pengsubsidian", maka secara tidak langsung "Setiap kali Amerika mencetak duit, jumlah subsidi akan meningkat".

Sekiranya subsidi dihapuskan atau dikekalkan pada kadar 30 sen mengikut cara Shahrir Samad, maka harga minyak akan naik.

Harga barang lain akan naik, bukan hanya disebabkan harga minyka naik akan tetapi penurunan nilai ringgit yang sering mengikut USD, akibat daripada bail out Freddie dan Fannie itu.

Jadi apa kesudahannya?

Cara BN dan Cara Pakatan Rakyat kedua-duanya tidak dipersetujui oleh saya.
Orang-orang Pakatan Rakyat sering menyalahkn Harga minyak sebagai punca kenaikan harga barang, dan kemudian mempersoalkan kenapa harga barang tidak turun apabila harga minyak tidak turun.

Orang-orang BN, terlalu akur dengan "harga global" nya. walhal "harga global" yang diperhatikannya itu hanya dalam USD:


Walhal orang di Australia begitu bijak mengawal matawang sehingga hampir tidak menerima kesan kenaikan harga minyak.

Sudah cerita harga minyak, Harga emas apa halnya pula?
Apabila Bail Out itu berlaku, maka harga emas dalam USD yang sepatutnya akan meningkat.
Anggaran saya, Harga emas yang sepatutnya adalah dalam lingkungan USD 1200 tapi kini baru 800 lebih atau dalam erti kata lain Harga Tengah Cantik.

Rabu, 3 September 2008

Emas Turun, Minyak Turun, Saham Turun, Apa yang Naik?

Ramai yang suka harga minyak turun, termasuklah Shahrir Samad.

“Saya memang seronok melihat harga minyak di pasaran dunia turun, walaupun dijangka adanya kekangan berikutan masalah Gustav dan politik di Eropah dan sebagainya.

“Saya tidak boleh ramal tapi harapannya macam yang lain. Tetapi alhamdulillah nampaknya harga minyak di paras yang stabil dan saya harap ia akan berterusan stabil dan menurun sedikit supaya kita dapat pula satu berita baik sebelum hari raya.

Kalau kita lihat dalam 2 bulan sebelum ini, semua harga komoditi turun, Minyak, Emas, itu ini.
Saham juga kebanyakan turun.

Hai, kalau semua turun apa yang naik?


Jawapannya ialah USD.
USD cuba bangkit dari kejatuhan berterusan sejak lebihkurang setahun yang lalu, Dan ini menyebabkan banyak harga turun.

Sampai bila dia hendak turun?
Mari lihat carta USD berbanding euro.


USd telah naik melebihi purata 200 harinya berbanding euro. Menunggu masa ia akan tergolek, paling kurang ia akan berada pada tahap warha hijau (purata 200 hari).

Sekiranya USD akan tergolek pada tahap purata 200 hari, ianya lebih kurang pada nilai ketika mac 2008.
Harga minyak dunia akan ikut lebih kurang sama pada harga minyak dunia ketika mac 2008 dulu.

Mana bagus, USD rendah atau tinggi?
Bagi orang yang duduk di tempurung matawang yang terikat dengan USD, mereka akan bergembira apabila USD naik.
Bagi mereka "harga minyak turun".
Itulah Pemikiran orang yang duduk dibawah tempurung rigggit. Tak kira penyokong BN atau Pakatan Rakyat. Lebih kurang sama.

Bagi saya, harga minyak dalam USD yang tinggi adalah baik untuk negara-negara pengeluar minyak.
Pengukuhan dollar sementara ini hanya akan memberi peluang mereka memenuhkan tangki mereka sahaja.
Bila Dollar Tinggi, mereka boleh beli minyak dalam keadaan "dirt cheap". Baca, Pak Arab kena Tipu lebih 20 tahun.
Kini Pak Arab kena tipu beberapa bulan lagi.

Anwar sibuk belanjawan defisit atau tidak. Katanya tidak perlu defisit.
Kalau harga minyak dunia tinggi, maka tak perlu defisit.
Bagi saya, ketika mewah tak perlu defisit, ketika sukar, barulah defisit lebih.

Adakalanya saya kelakar melihatkan langkah-langkah Kerajaan Malaysia. Suasana berubah mengikut bulan ke bulan. Mengapa?

Belanjawan negara dibuat mengikut kalendar bulan 1 hingga 12.
Tahun kewangan PETRONAS berakhir pada mac. Penyata keluar dalam bulan 6.

Kebiasaannya apa yang kita lihat, Kerajaan seolah-olah risau tak cukup duit berdasarkan perolehan kerajaan yang lalu. Ketika belum nampak lagi berapa PETRONAS nak bayar, cepat-cepat dia akan risau melihat subsidi yang banyak.
Akan tetapi selepas keuntungan diumumkan, maka akan berlaku pesta 1 bilion sana, 1 bilion sini, 2 bilion sana 2 bilion sini.

Kalau hujung tahun berlaku banjir, mengelupur nak korek duit daripada mana, kerana setiap jabatan dah habiskan peruntukan. Nasib baik ada tabung khas.

Saya lebih suka melihat harga minyak dunia berada di paras yang sepatutnya iaitu dalam anggaran 125-130 USD, Tetapi ringgit mesti kukuh. Barulah kita boleh beli Petrol RM 1.40 tanpa subsidi.

Sebenarnya membanding kan USD dengan Euro untuk melihat kenaikan dollar adalah tidak berapa tepat, kerana polisi Euro tidaklah ketat sehingga tidak diinflasikan langsung.

Mari lihat carta, USD berbanding DOllar Australia pada tempoh yang sama.


Bagi saya, Dolar Australia hampir adalah wang kertas yang paling hampir dengan emas, kerana dia tak cetak berleluasa, dia kawal kredit betul-betul. Nampak ketara Dollar dinaikkan sebegitu rupa berbanding Dollar Australia.

Jadi apa anda perlu buat?
Kalau ada duit, beli emas sekarang.

Sabtu, 23 Ogos 2008

Penurunan Harga Minyak Lebih Banyak Menimbulkan Persoalan

Harga Minyak diturunkan. Ramai yang suka, ramai yang memperlekeh dan macam-macam lagi.

Daripada janji kononnya diturunkan pada 1 September tetapi rupanya 23 Ogos.
Mengapa 23 Ogos? Adakah harga minyak bulanan yang berubah-rubah itu akan berubah setiap 23 haribulan? Daripada mana tarikh 23 haribulan itu diambil?

Bagi pengguna biasa ramai yang seronok sehingga tangguhkan pembelian minyak kepada 23 haribulan. Kepada pengusaha?

Shahrir Samad menggunakan alasan pengusaha ketika memaklumkan tentang kelewatan penurunan harga minyak.

Banyak syarikat minyak yang menggunakan sistem pesanan automatik untuk pengusaha minyak jenama mereka. Dalam erti kata lain, mereka TIADA HAK untuk mengawal stok mereka. Saya tidak sebut jenama, pandai andailah cari.

Sekiranya mekanisme penetapan harga minyak bulanan dilaksanakan pada setiap hujung bulan, Syarikat minyak boleh buat kelonggaran supaya pengusaha boleh membuat pesanan secara manual supaya kalau pengusaha rugi, itu atas kawalan pengusaha bukan atas kawalan syarikat minyak.

Tapi kalau syarikat minyak memang bersedia untuk memberikan kawalan penuh kepada pengusaha supaya dapat menjaga tangki masing-masing, tetapi Menteri pula turunkan mengejut ketika stok banyak. Terdapat pengusaha yang ketika harga minyak naik dulu, stoknya kering habis dibeli oleh rakyat jelata.

Memang mudah mulut bercakap "Kalau harga turun kau rugi lah sedikit, kau dah untung ketika harga minyak naik dulu". Tetapi kalau minyak kering atau hampir kering ketika harga dinaikkan menjadi RM 2.70 dulu, nak untung macam mana?

Itu cerita pengusaha minyak yang saya jumpa tadi. ramai yang penuh tangki, jangan kau tanya "berapa stokmu".

Cerita saya?
Saya sudah bau harga minyak akan diturunkan dalam beberapa hari ini, tetapi saya tersalah percaturan.

Harga minyak diturunkan kepada satu harga yang kelihatan seperti dibundarkan kepada 5 sen terdekat. Ianya bagi saya sesuatu yang tidak begitu kena kalau nak jadikan harga runcit minyak mengikut harga pasaran. Kalau disubsidikan tepat-tepat 30sen, pasti sepatutnya harga itu tidak kelihatan dibundarkan kepada 5 sen terdekat.

Adakah harga petrol ron92 semasa yang dikurangkan sebanyak 30 sen akan menjadi RM 2.40?
Atau langkah populis?

Khamis, 21 Ogos 2008

Sheih Terbalikkan Bendera Kerana PDAM?

Saya membaca maklumbalas sheih (Kickdefella) apabila dikatakan Evil oleh PakLah.

Akan tetapi yang menghairankan ialah pemberhentian pekerja stesyen minyak dijadikan alasan.

Apapun, apa yang saya faham, perlaksanaan sistem layan diri sebenarnya telah diadakan sejak tahun 2001. Akan tetapi tidak dikuatkuasakan sangat oleh KPDN.

Yang nak sangat mengadakan sistem layan diri adalah PDAM, persatuan Pengusaha Stesyen Minyak yang terdiri pengusaha pelbagai jenama.

Apabila harga minyak dinaikkan menjadi RM 2.70, ramai yang mengeluh kerana peratusan komisyen menjadi terlalu rendah. Pekerja pula ramai. Bukan pengusaha yang nak sangat ramaikan pekerja , tetapi syarikat minyak yang paksarelakan pengusaha ramaikan pekerja berada di "forecourt".

Shell kata pada pengusaha shell, "Kau Tengok, PETRONAS boleh letak ramai orang, kau letak la ramai lagi".

PETRONAS pun kata macam tu, "Shell boleh letak ramai, kau letaklah lebih ramai"

Memang nampak macam "persaingan sihat", tapi bukan syarikat minyak yang bayar gaji, tetapi pengusaha yang bayar gaji.

Pada krisis kenaikan harga minyak yang lalu, apabila komisyen tidak dinaikkan serta merta PDAM minta macam-macam untuk kurangkan kos. Antaranya ialah mengurangkan waktu operasi, minta kurangkan caj kad kredit, dan sistem layan diri.

Tapi PDAM tak minta wajibkan pembuangan pekerja.

Amalan yang dicadangkan kepada pengusaha ialah tidak menggantikan pekerja yang berhenti, bukannya memberhentikan pekerja sedia ada.

Di Stesyen minyak kebiasaannya "turn over" pekerja adalah tinggi, kerja 2,3 bulan, ada yang tak sampai satu bulan.

Pekerja-pekerja yang macam itulah yang tidak digantikan dengan pekerja baru.

Sepatutnya tiada pengusaha yang memberhentikan pekerjanya hanya kerana sistem layan diri.

Sheih, Pengusaha mana yang berhentikan pekerjanya?
Beritahu saya.

Apabila komisyen dinaikkan sedikit, walaupun masalah caj kad kredit belum selesai, sepatutnya pengusaha boleh berasa lega sedikit dan tak perlu buang pekerja.

Di Merlimau, ketika harga minyak naik, cukup ramai pekerja yang mendapat tawaran belajar di IPTA, Alhamdulillah. Sampai tak cukup pekerja dibuatnya. Gantikan pula dengan yang baru, ada yang kerja tak sampai seminggu kerana sudah dapat kerja yang sesuai dengan kelulusannya.

Khamis, 14 Ogos 2008

Muqabalah Dengan Shahrir Samad


Saya baru pulang dari Putrajaya, selepas berjumpa dengan Shahrir Samad, di atas tiker persatuan (bukan tiket PAS).

Jadi nak utarakan permasalahan rakyat susah sikit, kerana persatuan nak "berterima kasih" ke atas komisyen. Jadi saya diam sahajalah dalam sesi persatuan dengan Shahrir Samad.

Jadi selepas tamatnya perbincangan persatuan dengan shahrir samad, maka bolehlah saya bawa agenda rakyat kepada dia.

Saya katakan kepada dia,kenapa tidak selesaikan masalah kenaikan harga minyak pada puncanya?
Shahrir kata: apa puncanya?
sebol: Nilai Matawang.
Pada mulanya dia mengatakan memang ringgit meningkat tidak lagi terikat dengan 3.80

Saya pun menerangkan bahawa ringgit memang dibawah nilai. Nilai ringgit yang kita hanya 40% daripada nilai ringgit kita sebelum krisis 1998. Itu punca utama kenaikan harga minyak.

Dia bersetuju juga nilai riggit sepatutnya pada kadar kurang dari RM 250 1 USD.
Tapi dia kata ada polisi yang mahukan nilai ringgit rendah supaya barangan eksport murah.

Saya pun balas balik, bila nilai ringgit rendah, bahan mentah jadi mahal, serupa juga.

Saya bagitau dia, sekarang masa terbaik untuk lakukan sesuatu pada nilai matawang.
Saya tak nyatakan sebab kepada dia kerana dia ada hal lain.

Sebabnya ialah , sekarang masanya nilai dollar agak tinggi dan harga komoditi agak rendah (buat seketika), jadi kalau nak tambat sebahagian ringgit kepada emas, sekarang inilah masa yang sesuai.

Jadi, Shahrir Samad adalah menteri KPDN yang kedua yang saya telah maklumkan bahawa punca kenaikan harga minyak adalah nilai matawang. Sebelum ini saya sudah beritahu Shafie Afdal.


Mahu terima tak mahu terima, saya dah utarakan cadangan penyelesaian masalah rakyat ke peringkat tertinggi.

Populis atau tidak? cadangan menilai semula ringgit adalah cadangan yang paling tak populis.

Tapi hasilnya akan menjadi begitu populis kalau harga minyak tanpa subsidi berada di bawah RM 2.00.
Kalau nilai Ringgit berada pada tahap 1USD = RM 2.30, bukankah harga minyak akan berada pada lingkungan RM 1.50?

Kepada Datuk Shahrir, sila usahakan supaya nilai matawang dikaji semula, tekan sedikit Kementerian Kewangan dan Bank Negara.

Sabtu, 2 Ogos 2008

Kelakar Juga Shahrir Samad

Dulu semasa dia nak umumkan "pengstrukturan subsidi" , saya mati-mati kena ingatkan ianya akan dilakukan pada bulan 8. Puas saya menunggu pengumuman, akan tetapi rupanya harga minyak dinaikkan pada pengumuman itu.

Andai kata Shahrir Samad betul-betul tahan sampai bulan 8 baru nak diapungkan (atau apung-30sen), harga minyak tidak sampai RM 2.70.

Kita dah jimat beberapa bulan bertikam lidah, berdemonstrasi, berdebat dan lain-lain.

Kerajaan berjimat duit subsidi dalam beberapa bulan ini? (ketika harga tetap RM 2.70)

Yang bayar rebet itu bukan kos tambahan? tampalan subsidi sana sini itu bukan kos tambahan?
Kerajaan persekutuan tidak berjimat pun atas kenaikan ke paras RM 2.70.
Hanya pembaziran tenaga manusia.

Saya sudah kata, ada beberapa perkara harus dilakukan sebelum pengapungan.

Sabtu, 28 Jun 2008

Pak Arab Kena Tipu lebih 20 Tahun

Ini adalah graf yang dipaparkan dalam wawancara Paul Van Eeden tentang punca kenaikan harga minyak adalah disebabkan oleh pembetulan kepada bekalan US Dollar berlebihan.



Oleh kerana Paul Van Eeden bukan islam, maka dia tidak mengambil berat soal umat Islam.

Apabila kita melihat pada graf di atas, ia menunjukkan bahawa harga minyak adalah terlalu rendah sejak 1986 sehingga 2008.

Warna kuning ialah harga minyak, dan warna putih adalah wang US Dollar yang dikeluarkan.

Pada tempoh 22 tahun itu, Amerika mempunyai lebih kuasa beli untuk membeli minyak daripada negara arab.

Harga minyak adalah "Dirt Cheap".

Bayangkan mereka ada banyak US Dollar akibat daripada cetakan sendiri, akan tetapi harga minyak adalah murah bagi mereka.

Mudah bagi mereka, nak minyak cetak duit lagi. harga tetap rendah pada tempoh 22 tahun itu.

Paul Van Eeden juga mempunyai graf sebegini untuk harga emas. Kena baca kisah konspirasi menurunkan harga emas dengan memalsukan maklumat bilangan emas pada bank pusat.

Dalam tempoh 22 tahun ini, Pak Arab kena tipu kerana menjual minyak pada harga yang begitu murah.

Negara pengeluar minyak patut berasa lega apabila harga minyak berada pada tahap sepatutnya.

Kalau ikut graf itu USD 120 adalah harga patut. Selebihnya barulah boleh salahkan sepekulator atau permintaan berlebihan dari negara China dan India.

Akan tetapi, akhirnya OPEC pula bersetuju tingkatkan pengeluaran. Mungkin Pak Arab akan kena tipu lagi?

Harga minyak di Malaysia tinggi? Itu hanya salah Dasar Matawang Ringgit.

Masih ingat lagi kenapa Saddam Menyerang Kuwait pada tahun 1992?
Perang teluk Pertama?

Ketika itu Kuwait sibuk mengeluarkan minyak melebihi kuota yang sepatutnya sehingga harga minyak rendah.

Google+ Hasbullah Pit