Di bawah ini saya siarkan satu artikel oleh Hishamudin Rais, seorang pejuang anti kapitalisme.
Di artikel itu dia menceritakan bagaimana penjajahan itu dikaitkan denganm kapitalisme.
Saya siarkannya di sini bukan bererti saya menyokong sosialisme secara bulat, tetapi saya menolak kolonialisme secara bulat.
Di artikel itu dia menceritakan bagaimana penjajahan itu dikaitkan denganm kapitalisme.
Saya siarkannya di sini bukan bererti saya menyokong sosialisme secara bulat, tetapi saya menolak kolonialisme secara bulat.
Emperialisme dan Empayar - Hishamudin Rais
Duit ringgit , modal dan harta kekayaan tidak berbangsa dan tidak beragama. Duit ringgit tidak mengenal sempadan. Keuntungan maksima tidak bersunat dan tidak pernah mandi berhadas. Kapitalisma tidak memiliki semangat nasionalisma, tidak berbahasa dan tidak pernah ada semangat patriotisma.
Modal yang mencari untung tidak memiliki cinta, kaseh dan sayang. Modal tidak mengenal manusia atau binatang. Apa dapat di jual – akan di jual. Apa dapat dibeli – akan dibeli. Beli murah dan jual mahal. Untung memastikan keuntungan maksima.
Apa yang saya tulis diatas adalah sifat-sifat dan ciri-ciri asli modal. Modal memiliki watak ganas untuk bertarong, menundukkan dan memakan modal-modal yang lemah. Modal besar akan memakan modal yang kecil untuk menjadi modal yang lebih besar. Modal yang lebih besar akan memakan modal besar untuk menjadi modal yang paling besar.
Jika modal duduk tidak bergerak modal ini akan mengempis. Kalau saya ada 10,000 ringgit dan saya simpan duit ini dalam bilik mandi – nilai 10,000 ini dari hari ke hari akan berkurangan. Ini hukum modal. Modal yang tidak bergerak adalah modal mati. Tidak ada sesiapa yang dapat melanggar hukum ini. Ini hukum kapitalisma. Dalam sistem kapitalisma – wang ringgit wajib begerak untuk terus membesar. Pembesaran modal hanya melalui jual beli yang akan menjamin keuntungan.
Sistem ekonomi kapitalisma muncul dari kehancurana sistem ekonomi feudalisma. Dalam hukum kapitalisma modal wajib membesar dan berkembang, akhirnya melahirkan era kolonialisma – penjajahan.
Lupakan cerita-cerita karut yang diajar di Sekolah Menengah Tingkatan Lima tentang Zaman Penemuan Negara Baru. Kita di beritahu bahawa kuasa Mat Saleh dari negara atas angin meninggalkan negara mereka untuk mengembangkan agama Kristian, mencari padri yang bernama John Poster atau membawa tamadun dan pencerahan ke negara yang tidak bertamadun – ini adalah cerita cerita karut.
Pada tahun 1786 bukan Francis Light yang berjumpa Pulau Pinang tetapi Orang Melayu Kedah yang berjumpa Francis Light. Pada tahun 1819 bukan Raffles yang menemui Singapura tetapi Orang Melayu Johor bertemu Raffles. Orang Putih menemui Singapura dan Pulau Pinang adalah cerita karut marut yang telah dijual bagitu lama sekali. Tidak ada sesiapa menemui kita. Kita telah wujud.
Tujuan Portugis , Sepanyol, Belanda dan British meninggalkan tanah air mereka dan belayar ialah untuk mencari bahan-bahan perniagaan baru untuk diperdagangkan. Berdagang ertinya datang untuk mencari untung. Kuasa kolonial ini ingin mencari dua pekara : Bahan mentah untuk dibawa ke Eropah dan pasaran untuk menjualkan barang yang mereka buat di negara mereka.
Di Eropah di awal kurun ke 13 – pasaran telah tepu. Sistem ekonomi feudal tidak dapat lagi menanggung perkembangan tamadun bangsa. Kemiskinan di sana sini. Naratif Charles Dickens dalam Oliver Twist (1838) menggambar keadaan ketika itu dengan tepat sekali. A Tales of Two City (1859) berlatarkan revolusi rakyat Peranchis memperlihatkan penentangan kaum tani terhadap kaum feudal. Sistem ekonomi feudal sedang diasak oleh sistem ekonomi kapitalis.
Zaman awal penjajahan ialah zaman pemulaan kapitalisma saudagar – mercantile capitalism. Jangan lupa East India Company dan Dutch East India Company – nama mereka sahaja telah tertonggeng bogel menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah saudagar yang datang berdagang untuk mencari harta kekayaan. Raja/Permaisuri England dan Belanda disalut kemudian untuk mencantik dan mengindahkan kerja jahat kaum saudagar ini. Malah ramai diantara saudagar Mat Saleh ini adalah lanun laut yang di beri penghormatan oleh kaum feudal.
Agama didatangkan kemudian dengan tujuan untuk menipu dan memastikan anak-anak tanah jajahan terus diperbodohkan dan ditakut-takutkan dengan api neraka. Cerita api neraka ini masih lagi satu ‘trick’ baru yang masih boleh digunakan di tanah jajahan. Hasil dari persekongkolan – kaum pemodal, kaum feudal dan kaum agamawan - tanah tanah dan harta kekayaan rakyat di Asia, Afrika dan Amerika Latin dapat di rampas. Untuk gantinya rakyat di negara-negara ini diberikan Kitab Injil. Inilah hakikat era zaman kolonialisma.
Kemasukan kuasa kolonial ini bukan tidak ada penentangan. Di Melaka kuasa kolonial Portugis telah di lawan. Apabila kuasa kolonial Belanda sampai mereka juga ditentang dan di lawan. Justeru kuasa kolonial melihat bahawa untuk memastikan perniagaan mereka selamat mereka perlu memiliki bala tentera. Justeru kota-kota perlabuhan yang didirikan di tepi persisiran laut wajib dikawal rapi. Ini berlaku di Batavia, Melaka, Pulau Pinang, Singapura, Manila – di Afrika dan Amerika Latin ciri-ciri yang sama juga berlaku.
Kini wajah modal para saudagar telah mula berubah. Untuk memperlihatkan mereka berderajat dan ada ‘class’ maka cap mohor King dan Queen diperlukan. Untuk memastikan mereka selamat tentera laut dan darat disediakan. Apabila modal emas dan ringgit terkumpul dan bertambah maka para saudagar ini berupaya untuk mendiri dan memperbesarkan pasokan soldadu. Akhirnya anak-anak tempatan direkrut untuk dijadikan sebahagian dari tentera kolonial.
Tentera Ghurkha, Kyber Rifles, British Indian Army, British Burmese Army adalah diantara nama-nama pasukan tentera dimana anak-anak tempatan berjaya direkrut untuk menjadi alat penjajah. Di Indonesia hingga ke hari ini kita mendengar konsep Anak Emas Belanda – ini adalah rakyat Moluku yang direkrut untuk menjadi budak suruhan Belanda. Malah askar Melayu Diraja yang patriotik menentang Jepun dalam Perang Dunia Kedua dihasilkan oleh British War Office yang meluluskan Akta Malay Regimen pada 23 November 1923.
Dalam masa yang sama – kuasa kolonial juga bergerak mengikut hukum kapitalisma dan modal – mereka bertentangan antara satu puak dengan yang lain. Portugis kuasa kolonial awal telah lemah kerana diserang oleh kuasa modal British, Belanda dan Sepanyol. Kuasa modal kolonial Sepanyol runtuh apabila diserang oleh kuasa modal kolonial Belanda dan British.
Akhirnya yang tinggal hanyalah kuasa modal British dan Belanda. Di kawasan Kepulauan Melayu pertempuran hebat untuk merebut harta kekayaan berlaku diantara dua kaum pemodal ini. Mereka berperang untuk memiliki dan menguasai kota perniagaan di Melaka, Singapura, Pulau Pinang, Bengkulu, Borneo, Belitung dan Batavia. Terbukti bahawa perperangan ini tidak ada sangkut paut dengan agama atau warna kulit. Mereka berkulit puteh dan semua beragama Kristian. Apa yang mereka rebutkan ialah harta kekayaan dan tanah jajahan. Perperangan mereka adalah perperanga kaum pemodal. Ini adalah mengikut hukum kapitalisma.
Akhirnya melalui perjanjian Anglo-Dutch Treaty 1824 dua kuasa kolonial ini bersetuju untuk tidak berperang. Perjanjian 1924 ini memisahkan Bumi Melayu dan Kepulauan Melayu – maka lahirlah apa yang dipanggil Indonesia dan Persekutuan Tanah Melayu.
Belanda menerima hakikat bahawa Singapura adalah hak British dan British memulangkan Bengkulu dan Belitung kepada Belanda. Kuasa penjajahlah yang melahirkan konsep negara bangsa. Pulau pulau di Selatan Singapura menjadi Indonesia.
Melalui Anglo-Siamese Treaty 1909 wilayah Patani, Menara, Singgora, Setul dan Yala menjadi wilayah Raja Siam. Kedah, Kelantan, Perlis dan Terangganu jatuh ketangan British. Perjanjian-perjanjian ini bukan di buat oleh Orang Melayu tetapi oleh kuasa kolonial British. Tujuan perjanjian ini adalah untuk memastikan suasana aman agar saudagar dari East India Company dan Dutch East India Company tidak diganggu gugat.
Kaum saudagar dari negeri atas angin yang awalnya datang dengan kapal layar untuk berniaga dan mencari bahan perniagaan akhirnya menjajah dan mendirikan kekuatan tentera, politik dan ekonomi. Modal dan harta kekayaan yang terkumpul hasil dari sistem ekonomi kapitalis ini akhirnya sampai ke puncak.
Puncak pencapian kapitalisma ialah imperialisma. Kekuatan modal imperialisma ini telah berjaya mendirikan empire. Ini samalah seperti empire yang didirikan oleh Kerajaan Rom - dimana seluruh Eropah, negara Arab dan negara di persisisran Laut Tengah semuanya menjadi tanah jajahan Emperor Rom.
Tanah Melayu juga akhirnya menjadi sebahagian dari Empire British. Tanah tanah jajahan British yang berselerak di Asia dan Afrika telah menyelamat ekonomi British dari berlakunya pemberontakan rakyat. Modal British dapat berkembang meluas mencari untung.
Keuntungan berlipat ganda mencurah-curah masuk ke kota London. London menjadi kota terbesar dan terkaya dalam dunia - lebih besar dan ampuh dari Empire Rom. Tapi pesta ini hanya untuk sementara kerana ada lagi satu hukum alam yang tidak dapat di lawan: Dimana ada penindasan disitu pasti akan muncul penentangan. (TT)