test

Jumaat, 6 Februari 2009

Campurtangan Asing Dalam Negeri Perak

T.Guru Nik Aziz telah berpesan...



1. Menteri Besar dalam sesebuah negeri adalah mewakili rakyat dalam sesebuah negeri untuk disembah kepada Raja. Orang lain, walau PM sekalipun adalah orang luar. Kalau tidak begitu maka akan timbul bermacam-macam krisis dan huru hara. Ini termasuklah siri-siri jenayah dan pencolekan seperti yang berlaku ke atas Menteri Besar Terengganu, Daud Samad dan beberapa Wakil Rakyat di Negeri Kelantan di tahun 1960an.

Dalam konteks ini, Najib adalah orang luar, begitu juga Anwar Ibrahim.


Najib memainkan peranan yang besar dalam proses rampasan kuasa ini.


Saya juga orang luar dari konteks pemerintahan negeri Perak.


Saya tidak mahu ulas tindakan Sultan Perak untuk tidak membubarkan DUN.


Saya hanya pembaca setia berita-berita tentang krisis politik perak sehingga berlakunya rampasan kuasa.


Alasan Nizar pada suratnya, hanyalah berbekalkan 2 sebab.
1. Bilangan kerusi adalah sama 28-28 dengan mengambil kira status 3 kerusi DUN belum diputuskan mahkamah.
2. Kaedah peralihan kuasa itu tidak termasuk dalam 3 cara yang dibenarkan oleh Undang-undang Tubuh.


Nizar bukannya mengatakan PR masih lagi mempunyai majoriti, tetapi dia mengatakan bahawa BN juga tidak mempunyai majoriti, kerana itu perlunya pembubaran DUN.


Selama apa yang saya nampak, alasan "lompat itu salah" tidak digunakan.


Kalau BN bentuk kerajaan, apa terjadi kalau 3 kerusi itu diputuskan oleh mahkamah sebagai kosong?


Biarlah Sultan Perak dan rakyat Perak, ahli politik Perak yang selesaikan.

Khamis, 5 Februari 2009

Najib Leburkan Perak demi Ekonomi Malaysia?

Menteri Kewangan, Najib cuba lakukan langkah menyelamat ekonomi yg bijak iaitu cuba mendapatkan perak supaya matawang berasaskan perak (Dirham perak) dapat digunakan.

Jenayah BESAR terhadap PERAK

Saya tahu, ramai yang inginkan saya menulis tentang 'Perak' ketika 'Perak' amat hangat.

Tetapi diminda saya ketika ini lebih tertumpu tentang bagaimana hendak menggunakan perak sebagai penyelamat ekonomi masyarakat setempat.

Perak adalah wang sejak dulu sehingga 1873.

Zaman dahulu, emas dan perak adalah matawang.
Kemunculan 'Piawaian Emas' (Gold Standard) yang menggunakan kertas sebagai mewakilkan emas, menyebabkan perak sedikit demi sedikit hilang status matawangnya.

Dulu Sterling, Baht, USD adalah kepingan perak.

Perak Sterling adalah 92.5% perak.
dulu nama Pound Sterling itu adalah berasal daripada beberapa keping syiling perak sterling mestilah beratnya 1 pound.

Lama kelamaan, emas kemana, perak kemana.

Kewujudan duit kertas sebenarnya banyak membunuh perak berbanding emas.
Emas wang besar, Perak wang untuk jualan harian.

Apabila kertas digunakan untuk mewakilkan emas, maka apa guna perak?
Permintaan terhadap perak merosot sejak wujudnya piawaian emas.
Sehingga satu tahap, apabila lombong perak dijumpai, sepatutnya mereka bergembira kerana lebih kaya, tetapi sebaliknya perak pula tidak jadi matawang.

Di Amerika dahulu, 1 auns perak nilainya 1 dollar, kemudian beberapa dollar itu samakan dengan beberapa eagle.
Eagle itu wang emas Amerika.

Teknik sebegini sebenarnya telah menetapkan nisbah nilai perak dengan emas.
Bagaimana ianya boleh tetap, kalau permintaan terhadap perak dikurangkan.
Emas disimpan kerana digunakan untuk sebagai wang yang belum ditebus, tetapi tidak perak.

Ketika Zaman Khalifah siapa entah (lupa), wujudnya larangan untuk menetapkan penukaran Dirham(Perak) dengan Dinar(emas). Kerana ianya memang berubah.

Orang putih panggil "Gold Silver Ratio".

Jadi, pada 1873, wujudnya jenayah besar terhadap Perak yang dipanggil Crime of 73

Sila baca

Coinage Act of 1873

 

Perlukah Buktikan Bahasa Melayu itu boleh menjadi Bahasa Ilmu?

Buletin Utama telah menyiarkan satu emel kepada TV3 yang menyarankan supaya Bahasa Melayu perlu dibuktikan dahulu boleh menjadi Bahasa Ilmu sebelum membantah PPMSI.

Saya agak hairan pemikiran sebegitu.

Kalau mahukan ilmu dalam sesuatu bahasa, belajar sahajalah ilmu itu dalam bahasa itu.

Kalau hendak menjadikan sesuatu bahasa itu sebagai bahasa ilmu, bahasa itu tidak memerlukan pembuktian untuk menjadikan bahasa ilmu.

Ia akan menjadi seperti ayam dan telur.
Yang mana satu dulu, bahasa menjadi bahasa ilmu dahulu, atau menjadikan bahasa itu bahasa ilmu dahulu.

Ketika pemindahan ilmu yunani kepada kepada Arab dahulu, perlukan Khalifah membuktikan samada bahasa arab itu sudah menjadi bahasa ilmu atau tidak.

Semua bahasa boleh menjadi bahasa ilmu.

Kalau ilmu tidak ada dalam bahasa itu, maka proses penterjemahan perlu dilakukan supaya bahasa yang tiada ilmu itu menjadi bahasa ilmu.

Bayangkan kalau semua ilmu sekarang masih lagi dalam bahasa Yunani.
Pak Arab tidak menterjemahnya, segala penemuan baru oleh ilmuan Islam ditulis dalam bahasa yunani.
Kemudian Islam Jatuh, Ilmu itu tidak diterjemahkan ke Bahasa Latin
Adakah perkara sebegitu berlaku dalam tamadun terdahulu?

Kalau hendak dikirakan keupayaan bahasa untuk menyerap ilmu, sudah pasti Bahasa Arab tidak mempunyai huruf yunani yang sehingga kini masih digunakan sebagai formula fizik. tetapi pemindahan ilmu itu berlaku. Semuanya diterjemahkan kepada Arab dan Farsi.

Apabila Islam jatuh, orang barat pun menterjemah ribuan kitab ilmu bahasa arab kepada Latin.

Adakah mereka perlu menunggu supaya bahasa latin itu menjadi bahasa ilmu sebelum menterjemahnya daripada bahasa Arab.

Oh, mungkin mereka tiada golongan bijak pandai seperti Che Det dan Aduka Taruna, yang mempunyai idea untuk mengadakan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Arab (PPMSA).

Bukankah mudah bagi orang eropah menyerap lebih banyak ilmu kalau orang eropah belajar matematik dan Sains dalam Bahasa Arab? Tunggu sahajalah Bahasa Latin menjadi Bahasa Ilmu baru diajar kepada anak-anak di sekolah.

Tidakkah begitu perumpamaannya dengan PPMSI?


Mampukah bahasa latin menjadi bahasa ilmu?
Huruf arab tulisannya dari kanan ke kiri, huruf latin dari kanan ke kiri.
Buktikanlah dahulu bahasa latin itu boleh menjadi bahasa ilmu baru ilmu itu dipindahkan?

Nombor Roman pula jauh benar bentuknya dengan nombor arab.

I, II, III, IV, X, XII , bandingkan dengan۱,۲,۳,۴,۱۰,۱۲

Tidakkah sukar bagi mereka menterjemah daripada bahasa yang menggunakan perkataan dari kanan ke kiri, tetapi nombor pula dari kiri ke kanan.

Maksudnya, sukar bagaimanapun bahasa itu untuk disesuaikan dengan sumber ilmu, ianya pasti boleh diterjemah dan diolah mengikut kesesuaian bahasa.

Pak Sepanyol nak terjemah kitab ilmu Hisab, tetapi tidak jumpa pula dalam bahasa Latin, apa istilah untuk Alkhwarizmi, maka mereka ubahsuai jadikan algorism.

Tulisan Latin tiada huruf  خ   , huruf arab pula tiada huruf yang sesuai dengan G.

Maka mereka hentam sajalah dahulu G menggantikan خ  , jadilah istilah algorism yang menggunakan G sebagai pengganti خ



Adakah mereka tunggu golongan cendiakawan membuktikan dahulu bahasa latin itu sesuai menjadi bahasa ilmu atau tidak?



Mari kita lihat teknologi roket.
Roket dicipta oleh orang Jerman, digunakan ketika perang dunia ke 2 sebagai serangan terhadap British.
Apabila Jerman kalah, Amerika menawarkan 1001 peluang kepada saintis itu asalkan duduk di Amerika.
Hasilnya, Amerika menjadi kuasa angkasalepas yang kuat.

Adakah semua dokumentasi tentang roket dikekalkan dalam bahasa Jerman? dan Kanak-kanak yang inginkan ilmu angkasalepas perlu belajar bahasa jerman?

Selasa, 3 Februari 2009

Sindrom Takut Boikot KFC

Sudah banyak kedengaran apabila seruan boikot kedengaran, kedengaran pula suara sumbang supaya jangan boikot KFC kerana ia milik bumiputera.

Ramai yang tidak faham konsep boikot.
Kita bukan mahu pembekal ayam itu sengsara.

Kalau orang tak makan KFC, orang yang makan ayam akan makan ayam di tempat lain.

Permintaan terhadap ayam tidak berubah, melainkan kalau Husam Musa dan Hasbullah Pit yang pro kambing  membuat kempen "Gantikan Ayam Goreng dengan Kambing Goreng".

Sekiranya boikot KFC berlaku, pembekal ayam lain yang mendapat lebih jualan, pembekal KFC akan merosot jualan.

Itu adat berniaga turun naik.

Jadi Pembekal Ayam kepada KFC lah yang patut persoalkan, "kenapa kau masih guna nama KFC. Tamatkan sahajalah perjanjian francais dengan KFC Amerika, demi periuk nasimu dan para pekerjamu (dan periuk nasiku)."

Pekerja KFC pun perlu beritahu kepada majikan, "kenapa kau masih guna nama KFC. Tamatkan sahajalah perjanjian francais dengan KFC Amerika, demi periuk nasimu dan para pembekalmu (dan periuk nasiku)."


KFC Malaysia bukan tak mampu buat rangkaian Kedai Ayam Goreng terbesar di Malaysia dengan nama sendiri.
sebagai contoh "AyGor". (Singakatan bagi Ayam Goreng)



Kalau dulu nama KFC itu diagungkan, kini Jenama KFC menjadi busuk. Apa yang seronoknya guna nama Inggeris, dan model Mat Salleh Tua itu.

Raddix FC pun satu, terikut KFC, guna nama Inggeris. Apa salahnya guna Ayam Goreng Raddix.
AGR.

Kalau kopi boleh pula dia guna "Kopi Raddix" tetapi untuk ayam, kena guna nama Inggeris.

Agaknya orang kampung masih belum boleh membezakan antara "Ayam Goreng" dengan "Fried Chicken".

Akan tetapi saya yakin Raddix mampu memaklumkan kepada pelanggannya bahawa "Ayam" adalah "Chicken" yang sama dan bukannya unta.

KFC kini hanya perlu melakukan satu sahaja langkah untuk merealisasikan bahawa Malaysia boikot KFC iaitu dengan menolak jenamanya dan menggunakan Jenama sendiri dalam bahasa sendiri.

Al Fatihah: Ustaz Ismail Mahmud

Daripada Perisik Rakyat, dan Fudzail, saya mendapat tahu bahawa Ustaz Ismail Mahmud telah meninggal dunia.

Ustaz Ismail mahmud adalah Adik kepada Ustaz Ibrahim LIbya Memali.

Saya tidak mengenali rapat Arwah Ustaz Ismail, sebagaimana Fudzail boleh berborak-borak.
Maklumkah, ketika di TV3 dulu, saya muda belia lagi. Duduk depan komputer sahaja. Makan Linux Tidur Solaris.


Ketika era Reformasi dulu, agak mengejutkan apabila mendapat tahu arwah Ustaz terpaksa berhenti kerja kerana tidak mahu bersubahat dengan sesuatu yang bertentangan dengan Islam.

Ketika itulah saya baru tahu yang Arwah ustaz adalah adik kepada Ibrahim LIbya.

Maka berhentilah dia.

Tidak lama kemudian, giliran saya pula mendapat "Kontrak tidak disambung".

Isnin, 2 Februari 2009

4 Blogawan pro PR dikenalpasti Tidak Sokong Bantahan PPMSI

Setakat ini sudah 4 blogawan pro PR yang tidak sokong Bantahan terhadap PPMSI.



1. Penarik Beca.
 PPSMI - Saya minta maaf» ~penarik beca



2. Ya naam
PPSMI - wajarkah diteruskan (2) ?» Dari kaca mata Yanaam
Demonstrasi PPSMI» Dari kaca mata Yanaam




3. Aduka Taruna
PPSMI tiada hal dengan martabat Bahasa Ibunda!» AdukaTaruna
Woit pejuang bahasa. Ni dak nyle cakap.» AdukaTaruna


4. Edyesdotcom.
Maaf Dato Seri, Saya Sokong PPSMI» edyesdotcom


Pendapat mereka diterima. Maka perlu dibalas dengan hujah. Melainkan pendapat Edyes.com telah di jawap di sini dalam bentuk "sokongan". (Anggap sahaja Ilmu teknologi Jerman sedia ada masih lagi dalma bahasa Arab, kerana tidak diterjemah oleh ilmuan Jerman)


Hujah Aduka Taruna ialah kerana tidak mahu dianggap pejuang "Bangsa".

Terpulang la. Tapi pada wa, atas falsafah pegangan wa, wa tidak akan menghadirkan diri himpunan tersebut. Kerana wa bukan pejuang bangsa, dan bukan pejuang bahasa. Ini pendirian wa. Pendirian yang lain, cam biasa, itu hak mereka.
Saya tidak pasti samada "Bangsa" itu bermaksud kaum Melayu ataupun Bangsa merujuk kepada kenegaraan.
Namun, tidak dinyatakan pula Bahasa Melayu itu sebagai "Bahasa Umat Islam".

Apa itu "Bahasa Umat Islam"?

"Bahasa Umat Islam" ialah bahasa yang digunakan secara meluas oleh umat islam.
Umat Islam di Malaysia bahasa umat Islamnya ialah Bahasa Melayu. Orang Islam yang bukan melayu juga berhubung dengan umat Islam lain dalam Bahasa Melayu.

Bahasa Umat Islam yang lain di Negara lain ialah,
Bahasa Indonesia (Bahasa Melayu Indonesia) di Indonesia,
Bahasa Pashto di Afghanistan,
Bahasa Urdu (di mana ya?)
Bahasa Sindhi
Bahasa Morocco di Maghribi
Bahasa Kurdish
Bahasa Farsi
Bahasa Turki
Berber
Hausa


Mana datangnya huruf Arab yang tambahan ini? Kalau bukan daripada bahasa-bahasa umat Islam.




Zaman dahulu, banyak bahasa percakapan yang tiada tulisan.
Maka Islam datang, Islam bawa huruf sekali, untuk menyesuaikan dengan bahasa setempat, maka diciptanya huruf tambahan untuk sesuiakan bunyi tempatan.

Tak usah duduk dalam tempurung Malaysia sahaja.

Kalau PPMSI diadakan di Maghribi, di situ pun kita patut bantah.
kalau PPMSI diadakan di Afghanistan pun, di situ kita patut berdemo.

Banyak alasan yang pro PPMSI ialah dengan mengatakan bahawa bahasa Inggeris itu perlu dipelajari.
Memanglah. Tiada sesiapa pun menghalang mana-mana anak-anak untuk mempelajari Bahasa Inggeris.
Malah istilah Inggeris sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris pun perlu di pelajari.

Bagi ramai orang yang anti PPMSI, mereka sering menggunakan hujah "susah nak faham", "susah bagi orang kampung" , tetapi saya tidak gemar menggunakan hujah sebegitu.

Saya lebih risau kalau PPMSI berjaya. Kita akan melahirkan lebih ramai ilmuan yang tidak tahu istilah Bahasa Melayu. Maka ilmu sering dikekalkan dalam bahasa sumber.

Umpama Hitler arahkan pengajaran sains dan Matematik dalam bahasa latin.

Umpama Khalifah Al Makmun arahkan semua semua sekolah mengadakan pelajaran matematik dalam bahasa Yunani.

Sedangkan sebelum PPMSI diadakan, istilah Inggeris telah digunakan secara meluas dalam teknologi biarpun oleh orang yang tidak tahu berbahasa Inggeris.

Berapa ramai diantara kita di sini suruh anak "Anakku, tolong ambilkan abah kawalan jauh".
Semua orang suka guna "remote".

Mungkin keluarga saya sahaja yang guna "tolong ambilkan jauh".

Orang kampung pun boleh guna istilah remote. Bukan kerana mereka terlalu bijak berbahasa Inggeris, tetapi mereka hanya tau perkataan "remote" untuk "alat kawalan jauh", dan ada di kalangan mereka tidak tahu pun apa maksud "remote".

Begitu juga "aircond", berapa ramai diantara kita guna "Buka aircond".
Tapi tidak pula sebut "buka fan".

 Perkara semudah itu pun, penutur bahasa melayu GAGAL untuk menggunakan istilah dalam bahasa sendiri, inikan pula kalau seluruh ilmu ingin dibiarkan dalam bahasa asing.

Bagi saya, selagi ilmu itu dibiarkan dalam bahasa asing, meskipun telah dipelajari oleh ribuan umat islam, ianya belum boleh dikira sebagai perpindahan teknologi atau permindahan ilmu.

Sheikh Muzaphar guna duit rakyat, pergi ke Stesyen Angkasa Antarabangsa, tetapi dalam pelancarannya masih guna "blast off". Itulah satu-satunya peluang bagi kita untuk ada istilah sendiri bagi blast off, tapi kekaguman mereka pada Inggeris menyebabkan tiada cubaan menggantikan "blast off".

Sudahlah guna teknologi Russia, mengapa masih mahu guna istilah Inggeris? Orang Russia guna "blast off" jugakah?

Siapa dulu terbang ke angkasalepas, Russia atau Amerika?

Dari sudut teknologi, Negara berbahasa Inggeris sebenarnya tidaklah hebat sangat.

Semalam saya lihat statistik kejuaran Formula 1, Sejak 1982, Tiada satu pun enjin buatan British atau Amerika yang menjuarai kategori pembuat.

Ferrari? Renault? Honda? Mercedes?
Semua enjin itu dicipta oleh jurutera yang belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeriskah?

Melalut pula.

Walaubagaimanapun, bagi sesiapa yang tidak mahu menentang PPMSI kerana merasakan tiada kaitan dengan Islam, Jemput baca tulisan Rausyanfikir :

Polemik Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris: satu tinjauan penting.


Dengan izin, saya menyiarkan artikel "Bahasa Melayu dari sudut Islam"






Bahasa Melayu dari sudut Islam



Oleh: Wan Ahmad Fayhsal ( tersiar dalam Siasah edisi 21-21 September 2008)



Pada tahun 1970-an, Pengerusi Majlis Universiti Kebangsaan pada waktu itu telah bertegas menyatakan bahawa Bahasa Melayu mestilah dijadikan bahasa pengantar utama untuk semua kursus di universiti. Selang 20 tahun kemudian, individu yang sama tetapi telah menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri, telah beralih angin dengan mengisytiharkan pada tahun 1993, bahawa semua kuliah sains dan teknologi di universiti hendaklah disampaikan dalam Bahasa Inggeris.



Tidak sampai 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2002, Perdana Menteri yang sama membuat pengumuman bahawa mata pelajaran sains dan matematik di sekolah akan diajarkan dalam Bahasa Inggeris pada tahun berikutnya, iaitu tahun 2003. Individu tersebut tidak lain tidak ialah Bapa Pembangunan Malaysia itu sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad.



Menurut Profesor Awang Sariyan yang merupakan seorang ahli bahasa terkemuka, inilah pertama kalinya berlaku dalam sejarah negara ini satu dasar baru telah merombak dasar yang telah wujud selama puluhan tahun dan dilaksanakan dalam satu tempoh yang cukup singkat iaitu satu tahun.



Para pejuang Bahasa Melayu tidak duduk diam sepanjang pergolakkan itu berlaku. Mereka telah mengadakan pertemuan demi pertemuan, dan pelbagai nasihat telah disampaikan kepada kerajaan pada waktu itu untuk tidak melaksanakan keputusan yang bakal menyisihkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa Ilmu. Tetapi sayangnya isu ini tidaklah dianggap berat oleh banyak orang Melayu terutamanya dari kalangan politikus dan profesional. Maka perjuangan Bahasa Melayu akhirnya tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam kalendar perjuangan rakyat.



Makalah ini tidak ingin membicarakan ‘dosa’ Tun Mahathir kerana sudah tidak signifikan lagi untuk kita lontarkan beban masalah ini kepadanya tetapi makalah ini ingin mengajak para pembaca untuk bermuhasabah akan kepedulian kita terhadap Bahasa Melayu ini sekadar tutup sebelah mata atau bagaimana?



Perspektif inilah yang kita harus perbetulkan. Peri penting Bahasa Melayu ini bukan sahaja melibatkan survival bangsa tetapi agama Islam juga. Jikalau kita perhatikan sejarah pengislaman yang berlaku ke atas bangsa Arab dan bangsa Melayu kita akan mengerti betapa pentingnya kedudukan bahasa dalam menjayakan misi dakwah Islamiyah. Antara proses penting yang berlaku dalam aktiviti pengislaman sesebuah bangsa, atau tamadun adalah proses islamisasi bahasa.



Proses Islamisasi bahasa ini berlaku buat pertama kalinya terhadap Bahasa Arab sewaktu Islam mula berputik di jazirah Arab. Terminologi dan makna perkataan yang terdapat dalam Al-Quran adalah sama seperti yang wujud pada zaman Jahiliyah tetapi mempunyai maksud yang berlainan daripada yang asal. Ini jelas menunjukkan bahawa terdapat proses Islamisasi bahasa yang berlaku dimana perkataan-perkataan tersebut masih diguna pakai cuma diubah konsep dan pengertiannya. Seperti contoh istilah Allah pada zaman Jahiliyah dahulunya menggambarkan salah satu daripada tuhan-tuhan berhala orang Arab di Mekah tetapi setelah Islam muncul, istilah Allah menggambarkan Tuhan Yang Esa dan tiada sama dengan mana-mana yang lain.



Fenomena ini telah dikaji dengan cermat oleh Profesor Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Beliau merupakan antara ilmuan Islam yang cukup perihatin dalam memperjuangkan penggunaan bahasa yang betul dan perkaitannya dengan risalah Islam. Al-Attas menganggap perubahan semantik yang kuat pada konsep-konsep kunci dalam pandangan alam Jahiliyah adalah satu sebab mengapa mereka menuduh Nabi Muhammad s.a.w sebagai dukun, penyair, orang yang kena rasuk, bahkan tukang sihir. Ini jelas telah disanggah oleh Allah s.w.t seperti yang tertera dalam Al-Quran (36: 69):



“Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. Al Qur'an itu tidak lain hanyalah pelajaran dan kitab yang memberi penerangan”



Perkara yang sama turut berlaku ke atas kaum ajam (bukan Arab) yang memeluk Islam. Bahasa-bahasa rumpun Islam seperti Parsi, Turki Lama dan Urdu pada awalnya telah di’islamkan’ bentuknya kepada skrip Arab dan pada masa yang sama turut berlaku perubahan penting terhadap perkataan dan makna yang diguna pakai dalam bahasa-bahasa tersebut. Perkara yang sama turut berlaku ke atas Bahasa Melayu. Kosa kata seperti ‘dosa’ dan ‘pahala’ merupakan warisan daripada budaya Hindu-Buddha tetapi telah diubahsuaikan maknanya mengikut acuan dan konsep yang wujud dalam agama Islam.



Al-Attas menekankan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat Bahasa Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima Islam, terutama dengan pengenalan akan “…peristilahan dasar yang membayangkan faham-faham dasar yang menayangkan pandangan alam serta kehidupan yang dialami…”



Melalui perubahan bahasa ini juga telah wujud satu bentuk pandangan alam Islam dalam aspek sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat orang Melayu. Demikian juga Islam telah memberikan acuan baharu kepada wacana Bahasa Melayu dengan pengenalan akan pelbagai bentuk wacana yang sebelumnya tidak ada dalam tamadun Melayu, seperti wacana ketatanegaraan (seperti Tajul Salatin), wacana undang-undang (seperti Hukum Kanun Melaka), wacanan pensejarahan atau historiografi (seperti Sulalatus Salatin, Hikayat Aceh, Hikayat Raja Pasai) dan pelbagai bentuk susastera prosa dan puisi.



Bahasa Melayu pada zaman Kesultanan Melayu benar-benar menjadi tonggak tamadun kerana digunakan dalam segenap lapangan kehidupan-pentadbiran, undang-undang, diplomasi, perdagangan, ilmu dan pendidikan. Karya persuratan Melayu klasik yang tertulis banyak sekali menayangkan falsafah dan logika yang bersumberkan dan berteraskan Islam. Dalam bidang undang-undang, misalnya, Hukum Kanun Melaka jelas berdasarkan undang-undang Islam. Demikian juga dalam bidang ketatanegaraan menggunakan istilah ‘adab ketatanegaraan’. Ini jelas bahawa asas-asas tanggungjawab pemerintah yang dinukilkan dalam karya seperti Nasihat al-Muluk, Taj al-Salatin, dan Bustan al-Salatin didasarkan kepada lunas Islam. Bahkan karya agung Melayu Sulalat al-Salatin (Sejarah Melayu) yang dikatakan penuh dengan mitos dan lagenda itu pun banyak mengandung unsur-unsur Islam, termasuklah dalam penampilan pelbagai metafora yang berlunaskan prinsip islam.



Walaupun kita telah dijajah beratus tahun oleh Portugis, Belanda dan Inggeris, jati diri orang Melayu pada waktu itu terutamanya yang berteraskan Islam masih tidak luput dengan mudah kerana penjajahan yang dikenakan lebih berbentuk fizikal. Berlainan pula keadaan orang Melayu selepas merdeka. Kita terpaksa berhadapan dengan satu bentuk ancaman baru yang lebih diskrit iaitu ancaman kemasukkan pandangan alam Barat yang membawa falsafah pemikiran sekularisme sebagai tunjangnya ke dalam kehidupan seharian kita. Bahasa Melayu telah diasak dengan hebat oleh pandangan alam Barat yang datang mencurah-curah dalam bentuk maklumat dan ilmu. Pandangan alam Barat ini banyak menyusup melalui sistem pendidikan terutamanya di peringkat pendidikan tinggi di mana orang Melayu telah didedahkan dengan pelbagai konsep asing yang tidak pernah wujud dalam sistem kosmologi Melayu itu sendiri.



Al-Attas mendefinisikan sekularisme sebagai:

“satu bentuk proses kefalsafahan dan keilmahan yang membuang makna-makna ruhani dari alam tabii, menghilangkan kekudusan politik dan kepimpinan dalam urusan kemasyarakatan, dan menisbikan nilai dari akal fikiran dan tingkah laku manusia”


Oleh kerana fahaman sekularisme ini hadir dalam bentuk proses falsafah dan keilmahan, maka ianya mampu menyelinap masuk dalam diri orang Melayu secara diskrit terutamanya melalui aktiviti kognitif yakni proses pencernaan ilmu dan maklumat yang membuahkan sistem pemikiran tertentu. Kesan sekularisme dalam aktiviti kognitif ini akhirnya akan membuahkan kekeliruan ilmu. Kekeliruan ilmu ini pula akan melahirkan pemimpin yang tidak mempunyai ciri-ciri adil maka kesan selanjutnya adalah lahirnya pelbagai masalah sosial seperti korupsi dan kebejatan moral. Semua ini akan membentuk satu lingkaran ganas (vicious cycle) yang senantiasa mengulangi permasalahan yang ada kerana titik permasalahan yang asal iaitu kekeliruan ilmu tidak ditangani dengan menyeluruh.



Aktiviti yang menggunakan bahasa merupakan satu aktiviti kognitif. Maka adalah sangat penting buat seseorang itu untuk menjadi lebih teliti dalam memastikan penggunaan kata yang betul dan pada masa yang sama cuba memahami makna yang sahih bagi sesuatu perkataan tersebut. Dalam perihal asas agama, menggunakan bahasa yang salah akan melahirkan kekeliruan kepada pemahaman seseorang. Penggunaan kata yang salah akan pasti memberi kesan kepada perubahan semantik dalam konsep teologi dan cara seseorang itu menilai ‘al-haqq’ (reality and truth). Maka, adalah sangat penting untuk kita sentiasa berwaspada akan penggunaan bahasa yang salah dalam menerangkan sesuatu perkara terutamanya berkaitan ilmu.



Kekeliruan makna dalam beberapa perkataan penting telah lama berlaku dan wujud dalam sejarah Islam. Pada zaman Imam Al-Ghazali lagi telah wujud sekatan dan perubahan kepada makna sebenar yang telah diguna pakai oleh orang Islam pada zaman sebelumnya. Antara perkataan yang telah berubah maknanya pada zaman Al-Ghazali dan juga dapat dilihat pada hari ini ialah fiqh, ilm, tawhid, zikir dan hikmah yang membawa maksud dan konsep yang berbeda seperti yang digunakan asalnya. Akhirnya polemik kekeliruan makna dalam kata kunci penting pada waktu itu telah merosakkan banyak ulama’ yang kerap berbalah perkara-perkara sempit disamping sikap fanatik terhadap mazhab dan kuasa yang dapat diraih melalui pencapaian ilmu masing-masing. Kesemua ini telah dirakamkan dengan begitu tersusun oleh Al-Ghazali sendiri dalam magnum opus beliau Ihya Ulumuddin.



Ada baiknya disini untuk kita lakukan satu perbandingan masalah semantik yang melibatkan penggunaan perkataan ‘ilmu’yang diguna pakai dalam menerangkan maksud tertentu yang wujud pada zaman Al-Ghazali dan masa kini. Imam Al-Ghazali telah menjelaskan dalam Ihya Ulumuddin bahawa :


“…maksud orang yang berilmu adalah orang yang asyik berdebat dengan musuh dalam masalah-masalah fiqh dan lainnya. Lalu dikatakan orang itu alim yang sebenarnya. Dia akan dianggap sebagai seorang tokoh ilmu pengetahuan. Orang-orang yang tidak berbuat demikian dan tidak menghabiskan waktunya untuk itu, dihitung sebagai orang lemah dan tidak dihitung sebagai ahli ilmu.”


Pada zaman ini pula, pengertian orang yang berilmu itu adalah lebih cenderung kepada orang yang mempunyai sumbangan kepada pembangunan negara. Definisi ilmu dalam dunia akademik di pusat pendidikan tinggi banyak berlegar dengan makna ‘ilmu’ yang terdapat dalam falsafah utilitarianisme dan pragmatisme. Ilmu wahyu dan hadith tersisih secara sistematik dan tidak wajar disertakan dalam sebarang disiplin ilmu yang membawa wacana pembangunan negara terutamanya dalam disiplin ilmu sains dan teknologi. Secara tidak langsung wacana sains dan teknologi dalam Bahasa Inggeris telah mengenepikan konsep sains Islam yang menerima pakai metodologi (seperti intuisi, ilmu wahyu dan hadith) dalam mencari jawapan atas alasan ‘tidak saintifik’ kerana maksud saintifik dalam Bahasa Inggeris seperti yang banyak tertera dalam buku-buku teks sains dan teknologi tidak memuatkan sebarang unsur suci (sacred) dari fahaman agama seperti ilmu wahyu dan hadith ke dalam pengertiannya.

Perkataan ‘ilmu’ itu jika ditakrifkan melalui Bahasa Melayu mempunyai pertalian semantik yang rapat dengan takrifan ‘ilmu’ dalam bahasa Arab iaitu ‘ilm’. Malah takrifan ‘ilmu’ yang wujud dalam Bahasa Melayu kini telah melalui proses islamisasi dengan membawa makna yang tepat berdasarkan fahaman ilmu dalam Al-Quran dah hadith. Perubahan semantik ‘ilmu’ yang berlaku kepada Bahasa Melayu ini telah banyak mencorak pandangan alam Islam terhadap masyarakat Melayu pada zaman dahulu hingga kini yang banyak menjelaskan hakikat dan peranan ilmu sebagai tonggak asas ketamadunan Melayu.


Jelas disini takrif ilmu dalam Bahasa Melayu itu tidak ‘kosong’ malah berkait rapat dengan elemen Tauhid. Takrifan ilmu inilah yang membawa kepada fahaman nilai dan adab dalam Islam dimana ilmu itu difahami sebagai milik Allah dan diberikan oleh-Nya kepada insan yang berusaha untuk mendapatkan ilmu dalam bentuk kefahaman yang meyakinkan, bukan semata-mata dengan mudah mencapainya melalui buku teks. Ilmu yang datang dari Allah dapat membawa kepada hikmah (wisdom) seperti yang dijelaskan dalam Al-Quran (12: 22) :


“Dan tatkala dia (Nabi Yusf a.s) cukup dewasa, Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu. Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.”


Analogi ini adalah seperti yang diterangkan berkenaan perihal nama Allah pada zaman Islam dan selepas Islam sangat berbeza sekali maknanya walaupun masih mempuyai identiti luaran yakni suku kata yang sama.


Inilah yang perlu kita risaukan. Dalam keghairahan kita menuju era baru dengan kemajuan yang didefinisikan barat, kita telah terperangkap dalam fahaman semantik dan epistemologi yang diketengahkan oleh mereka. Pada masa akan datang jikalau dominasi Bahasa Inggeris menjadi lebih hebat dalam lapangan ilmu, maka jadilah Bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang bisu, menurut Prof Wan Mohd Nor, Felo Penyelidik Utama, Institut alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Mengikut beliau, bahasa yang bisu yang tidak dapat diguna pakai dalam wacana ilmu semasa dan akan tersisih dengan mudah oleh komuniti ilmuan. Ilmu matematik dan sains bukan terbatas kepada dua mata-pelajaran sahaja tetapi terkandung dalam pelbagai bidang ilmu lain dalam bidang Kemanusiaan seperti Ekonomi, Perniagaan, Akauntansi, Kaedah Penyelidikan Kuantitatif dan lain-lain. Malah bidang agama juga akan terbabit seperti bidang zakat dan pengurusan harta-pusaka serta ilmu falak. Selain itu, beliau bimbang kebisuan bahasa Malayu Malaysia akan lebih ketara jika rakyat Malaysia berdepan dengan orang Melayu Singapura, rakyat Brunei dan Indonesia dalam urusan rasmi dan tidak rasmi.


Bagi mengatasi masalah ini seharusnya kita menggagas kembali proses Islamisasi ilmu kontemporari seperti yang dianjurkan ulama’ terdahulu dan juga seperti yang diperjuangkan oleh Al-Attas pada masa kini. Untuk menjalankan Islamisasi Ilmu kontemporari ini, asas utamanya adalah dengan membina pandangan alam Islam (Islamic weltanschauung) ataupun dalam Bahasa Arabnya seperti yang didefinisikan oleh Al-Attas sebagai ru’yat al Islām li al wujūd



.

Peri penting Islamisasi ilmu kontemporari yang digagaskan oleh Al-Attas ini turut dijelaskan oleh Prof Wan Mohd Nor:



“Beliau (Al-Attas) menerapkan konsepsinya tentang Islamisasi fikiran melalui kaedah linguistik baik dengan memperkenalkan istilah-istilah Arab-Islam dalam erti yang tulen mahupun dengan mendefinisikan kembali istilah-istilah dan konsep kunci yang telah ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris agar dapat mencerminkan pandangan alam Islam tentang realiti dan kebenaran atau dalam contoh lain dengan mengaplikasikan kedua-duanya. Islamisasi istilah dan konsep kunci dalam Bahasa Melayu, Arab atau dalam rumpun bahasa Islam lainnya yang selepas abad-abad pertama Hijrah telah dibatasi atau disalahertikan bukanlah sekadar usaha pembaratan, atau lebih khusus lagi pensekularisasian makna dan implikasinya, melainkan juga merupakan suatu proses reislamisasi, proses kembali atau devolusi kepada makna Islam yang tulen. Itulah sebabnya Al-Attas sangat berhati-hati dalam mendefinisikan dan menjelaskan istilah dan konsep kunci yang digunakannya sama ada dalam bahasa Inggeris, Melayu atau Arab. Penekanannya pada definisi yang benar tentang istilah dan konsep kunci memang terkenal dan telah menjadi salah satu wataknya yang menonjol.”


Proses Islamisasi ilmu kontemporari ini menekankan berkenaan pendefinisian yang betul tentang makna-makna penting seperti pendidikan, kebahagiaan, pembangunan serta kata kunci lain yang harus diberi penekanan yang tegar dalam membentuk pandangan alam Islam. Disini, kita harus ingat bahawa pandangan alam Islam tidak bersifat hegemoni dengan memaksa kaum bukan Islam untuk menerimanya secara paksa.



Berdasarkan keterangan di atas, ianya jelas menggambarkan peri penting peranan bahasa dalam membina tradisi keilmuan, maka Bahasa Melayu harus diperjuangkan dan diletakkan sebagai bahasa saintifik yang harus diguna pakai dalam sistem pendidikan negara.Kita juga harus ingat bahawa Bahasa Melayu ini bukan sahaja berperanan sebagai bahasa saintifik malah sebagai satu wahana buat masyarakat Malaysia menyatupadukan pelbagai kaum dalam usaha mencapai perpaduan nasional seperti yang diharapkan semenjak negara ini mencapai kemerdekaan kira-kira 51 tahun yang lalu. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sudah jelas termaktub dalam perlembagaan Negara Malaysia dan telah disepakati bersama oleh para ilmuan sewaktu berlangsungnya Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Resolusi daripada kongres tersebut telah digubal menjadi Dasar Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 dan ini telah mengukuhkan lagi peranan Bahasa Melayu dalam masyarakat kita. Masih belum terlambat untuk kita menyelematkan Bahasa Melayu daripada menjad bisu sebegitu sahaja.

Google+ Hasbullah Pit