test

Memaparkan catatan dengan label Pak Lah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pak Lah. Papar semua catatan

Khamis, 8 Januari 2015

Akad dah Ke Laut ...Betulkan Stesen Minyak boleh bankrap Harga Minyak Turun/Naik?


Betulkan Stesen Minyak boleh bankrap Harga Minyak Turun/Naik?
Jawapannya Ya dan Tidak.

Selama ini pun ada banyak stesen yang tutup. Diganti dengan orang lain.
cuma tak nampak sangat sebab penggantian itu cepat.

Minyak tak turun naik pun, ramai sudah tersungkur dek kos operasi terutama TNB yang meningkat.

Maka timbullah teori mengatakan, kalau harga rendah, harga kos pun rendah.
bila naik, stok jadi mahal, maka untung.

Teori itu memang boleh dipakai, JIKA stok adalah sama setiap kali perubahan harga.

Akan tetapi perkara sebeitu mustahil berlaku.

Kebiasaanya, bila harga nak naik ramai berduyun-duyun penuhkan tangki.
Jadi stok masa nak naik sedikit.

Masa nak turun pula, biasanya stok banyak.

OK, nak salahkan pengusaha kenapa simpan stok banyak?

Tidak boleh, sebab ini sistem Akad sudah kelaut

Dalam sistem Akad sudah ke laut, pengusaha (pelanggan) tidak lagi boleh memesan berapa banyak kuantiti yang hendak dibeli. Semuanya ditentukan oleh syarikat minyak (penjual).

Maka dihenjutlah sebanyak mungkin kepada pengusaha/pembeli ketika harga hendak turun.

Dalam Islam, urusniaga jual beli (muamalat) adalah antara suka sama suka. mesti ada persetujuan jual beli antara 2 belah pihak.
tidak ada paksaan. Jadi bila ada paksaan maka tidak sempurna.

Maka bila tiadanya perkara seasas begitu dalam jual beli, maka bolehlah dikatakan Akad sudah ke laut.

Jadi, bukan harga turun naik itu yang menyebabkan pengusaha bankrap, tetapi kehilangan perkara asas iaitu "persetujuan jual beli" itulah yang menyebabkan 1 pihak teraniaya.


Dalam transaksi jual beli pengusaha dengan pelanggan agak jelas.
Pelanggan tahu harga, pelanggan tahu kuantiti, pengusaha sedia jual.
maka transaksi berlaku.   halal......

Tetapi, wujud pihak ke 3 dan ke 4 yang campur tangan antara urusan jual beli antara pengusaha dengan pelanggan runcit itu.

Iaitu, Kerajaan dan syarikat minyak.

Kerajaan ingin mengambil tugas Allah menentukan harga dalam urusniaga antara 2 pihak.

Maka sebenarnya tidak wujud persetujuan jual beli antara 2 pihak itu, sebab 2 pihak itu terpaksa menggunakan harga yang ditetapkan oleh kerajaan.

Maka, apabila perlaku kenaikan harga, sebagai contoh yang berlaku zaman Pak Lah naik terus 2.70.

Kenaikan itu sudah diumumkan, tetapi tidak dilakukan serta merta.

Maka wujudlah ketidak redhaan untuk menjual oleh pengusaha pada malam itu. walaupun ketika itu, pelanggan cukup suka nak beli sebab esok naik. sehingga berlaku jem seluruh negara.

Ambil senario harga minya turun pula.
Sudah 2 kali selepas pengapungan terurus ini dilaksanakan, harga minyak diumumkan turun beberapa hari awal.

Maka ada yang kering, sebab terlalu nak kurangkan stok.

Dan ada pula yang terlebih banyak stok, disebabkan telah dipenuhkan oleh syarikat minyak menggunakan sistem Akad dah Ke Laut.

Mengapa perlu ada delay / penangguhan antara pengumuman dengan perlaksanaan?

Saya pernah tulis cadangan saya dulu di sini

Jadi saya cadangkan, tempoh masa pengumuman perubahan harga mesti kurang dari 24 jam.
Hari ini pukul 4 umum tukar harga, malam terus laksanakan.

Jangan beri ruang untuk berspekulasi.

Saya dapat maklumat perubahan harga dalam sistem pengapungan terurus ini adalah secara bulanan. Bagi saya ianya tidak elok, sebab orang boleh ramal perubahan harga hujung bulan depan.

Dalam 1 bulan mesti harga nymex banyak berubah, kalau mingguan kurang sedikit perubahan dia.

Maka cadangan saya adalah sebegini.
Perubahan harga minyak adalah dalam mingguan dan bukan bulanan.

Hari perubahan harga adalah tidak tetap.
minggu ini mungkin isnin,
minggu depan mungkin jumaat,
minggu lagi 1 mungkin khamis.
Isytihar 4 petang, laksana tengah malam hari sama.

Tetapi kalau boleh tak berubah hari khamis, sebab tak mesra hubungan suami isteri.
Hujung minggu pun kalau boleh tak payah ubah lah, pegawai nak cuti, pengusaha nak cuti.

Atau mungkin juga boleh guna kaedah siang.
Isytihar 11 pagi. dalam tempoh 1 jam kena tukar harga.

















Selasa, 23 September 2014

Pemimpin 'Zon Selesa'

Sifat-sifat pemimpin mempengaruhi sesuatu organisasi, tidak kiralah organisasi politik, atau perniagaan, atau kerajaan.

Ada pemimpin yang nak bawa naik organisasinya untuk meningkat.
Tetapi ada juga pemimpin yang dibawa oleh organisasi.

Ada pemimpin organisasi yang memang menubuhkan organisasi.
Ada pemimpin organisasi mewarisi kepimpinan dahulu.

Kedua-duanya boleh memjadi pemimpin 'Zon Selesa' , kerana berbangga dengan kejayaan lampau.
Cukuplah sampai setakat ini, aku sudah menjadi presiden XXX, satu organisasi besar.

Ambil contoh Steve Ballmer, mewarisi Microsoft setelah Bill Gates bersara, dalam keadaan menguasai pasaran Sistem Pengoperasian komputer. Tetapi selepas itu, pengguna pula yang banyak beralih ke tablet dan mobile.

Sultan Muhammad Al Fatih tidak akan berjaya menawan Konstatinople jika berada dalam Zon Selesa.
Sultan Muda yang mempunyai kerajaan dan bala tentera kuat. Bukankan itu cukup selesa. Buat apa nak cari penyakit tawan konstatinople? Tetapi kalau dia dalam zon selesa, mungkin kita tidak mengenali beliau.

Begitu juga Alexander The Great, mewarisi tentera yang kuat daripada bapanya, kalau dia duduk diam-diam menikmati apa yang ada, kita mungkin tak mengenali dia.


Pemimpin zon selesa, adalah tidak salah, cuma organisasi yang dipimpin tak bergerak, pergerakan adalah autopilot oleh orang2 bawah. atau mungkin dikawal oleh orang lain.

Pak Lah, boleh dikatakan pemimpin zon selesa. Sudah jadi Perdana Menteri, semua perkara-perkara diserahkan pada orang bawah, ada yang tanpa melalui otak Pak Lah, terus sahaja.
Ini memberi peluang pada si menantu untuk menguasai pentadbiran.

Pemimpin zon selesa membiarkan diri didampingi oleh pengipas-pengipas yang inginkan kuasa, sedia membela pemimpin zon selesa itu bermati-matian.

Di Tanah Melayu dahulu, Sultan-sultan kebanyakkannya zon selesa. Tiada satu pun gerakan anti British darpada arahan Sultan.

Jadi, apakah pemimpin zon selesa perlu dijatuhkan?
Mahu tak mahu, ianya akan jatuh sendiri, atas faktor usia atau faktor umur.

Nak tunggu atau tak boleh tunggu lagi?
Itu ahli organisasi kena putuskan. 

Samada Caligula perlu dibunuh atau nak tunggu dia tua kerepot. Terpulanglah pada pembesar Rom.












Isnin, 30 Mac 2009

391 Juta untuk Hanya 1 Kawasan Parlimen, Adilkah?

Diberitakan bahawa sebanyak 391 juta diperuntukkan hanya pada satu kawasan parlimen.

KEPALA BATAS, 29 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan bahawa projek pembangunan di kawasan Parlimen Kepala Batas tetap diteruskan walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan itu nanti.

Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata hal yang demikian bertujuan memastikan masyarakat setempat dapat menikmati kehidupan yang selesa selain meningkatkan taraf hidup.

"Tidak semestinya bila sudah tidak menjadi Perdana Menteri kawasan itu tidak boleh dimajukan. Ada juga kawasan lain yang tidak ada Perdana Menteri boleh membangun.

"Mudah-mudahan pembangunan di kawasan ini diteruskan dan akan diteruskan, tidak semestinya saya sudah tidak menjadi Perdana Menteri, pembangunan akan terhenti," katanya dalam ucapan perasmian 28 projek pembangunan persekutuan di kawasan Parlimen Kepala Batas di Dewan Milenium di sini, Ahad.

Abdullah turut menegaskan agar memperbanyakkan projek infrastruktur untuk rakyat.

28 projek pembangunan persekutuan itu melibatkan 10 jabatan antaranya Jabatan Pelajaran Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Belia dan Sukan.

Sebanyak 16 daripada 28 projek itu adalah projek pendidikan dan keseluruhan projek yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) itu menelan belanja sebanyak RM391 juta.
Menurut kiraan hisab ringkas, sekiranya RM 391 juta disalurkan kepada hanya satu kawasan parlimen, 8.2 bilion diperlukan supaya semua kawasan parlimen mendapat peruntukan yang sama.

Namun perkara sebegitu tidak berlaku.

Sudah menjadi 'Kebiasaan' politik di Malaysia untuk lebihkan kawasan sendiri apabila memegang tampuk kuasa.
Jawatan Perdana Menteri, atau Menteri Kabinet atau Ketua Menteri atau Menteri Besar adalah jawatan yang meliputi satu negara atau negeri.

'Kebiasaan' politik untuk melebihkan kawasan sendiri apabila memegang tampuk kuasa yang lebih besar, akan mengakibatkan satu budaya politik , suka melobi orang kawasan sendiri.

Maka semangat kedaerahan akan meningkat di sesuatu kawasan politik.

"Aku nak orang kawasan aku naik"


Keadaan sebegitu membuatkan UMNO melaka, seboleh-boleh mahukan Ali Rustam menang.


Saya tidak menolak politik kedaerahan secara bulat, memang patut seseorang ahli parlimen mementingkan kawasan parlimennya. Tetapi biarlah berpadan dengan kuasa yang dimiliki.

Adakah boleh Paklah memperuntukkan 391 juta sekiranya dia hanya sebagai ahli parlimen bebas?
Sudah tentu tidak.

Rabu, 11 Mac 2009

Saya tak peduli apa yang dibincangkan antara Anwar dengan Abdullah

Disebabkan Paklah dan Anwar adalah orang besar dalam dunia politik Malaysia, maka pertemuan 2 orang itu yang dihangatkan, penuh 1001 spekulasi.

Saya tak peduli apa perbincangan 2 orang itu.

Apa yang saya nampak ianya adalah pertemuan Syeikh Mahmud al-Majzub , dengan ketua kerajaan dan ketua pembangkang.

Apa yang Syeikh Mahmud al-Majzub mahukan?
Itu yang perlu kita cari, bukannya apa yang Anwar dengan Abdullah bincangkan.

Rabu, 8 Oktober 2008

Jualan Poster Edisi Terhad, Cetakan Terakhir

Gambar tidak berapa jelas, Apa yang mereka jual?




Inikah jualan penghabisan stok bagi poster edisi terhad yang tidak akan dicetak lagi?


Isnin, 6 Oktober 2008

Pak Lah Kelihatan Seperti Berundur Tetapi Hakikatnya....

Siapa Kata Pak Lah Perlu Berundur?
Nobisha?
Zubli? Usah Pedulikan Kaedah Berundur secara menarinya.

Tidak Percaya Pak Lah Berundur?

Pak Lah Sebenarnya boleh kelihatan seperti berundur, walaupun dia ke depan, dan semua akan percaya.

Ini Kaedah Pak Lah Kelihatan Berundur yang boleh membuatkan orang Percaya Pak Lah Berundur. 
(mesti klik)


nota:
Ini adalah kaedah berundur yang tidak selamat berbanding kaedah berundur yang selamat.

Ahad, 5 Oktober 2008

Pak Lah Sah Berundur? Bukan Begitu Caranya Zubli....

Entah bagaimana, Pak Lah dispekulasikan akan berundur, maka Zubli pun menceritakan kaedah Pak Lah berundur.

Pak Lah tidak perlu bertarilenggang untuk berundur.
Tidak perlu, muzik itu juga tidak perlu.

Bagaimana cara pak Lah berundur dengan cara terhormat?

Merujuk kepada kitab permotoran Paul Tan, Cara Pak Lah berundur yang paling selamat ialah apabila mempunyai lampu berundur yang terang.



Untuk menambahkan lagi kepastian untuk berundur, maka boleh gunakan ciri-ciri kamera berundur.




Jangan lupa  sensor berundur untuk keselamatan.
ketepi! Ketepi! Pak Lah nak berundur.
kanak-kanak jangan main basikal kalau Pak Lah hendak berundur.




Bagi yang tidak mahu berundur lagi, pastikan anda tidak kelihatan seperti mahu berundur

Menteri Pengangkutan akan marah kalau anda buat begitu.


Menteri pengangkutan kata, Jangan ikut rapat-rapat. Kalau brek  kalut sampai ke tengah, inikan pula kalau berundur.

Khamis, 10 Julai 2008

Sidang D8: Mahu Harga Minyak Turun?

Ketika berlangsungnya sidang D8, Kuala Lumpur (PakLah) mengatakan tentang mahu merendahkan harga minyak dunia.

Akan tetapi tidak pula kedengaran Iran mahu harga minyak dunia kekal rendah.


D-8 Not The Forum To Resolve Oil Crisis, Says Iranian Commissioner


Adakah Iran Mahu Harga Minyak Turun?
Saya rasa tidak.

Iran telah menyerang Dollar Amerika, sudah tentu Harga minyak dalam Dollar Amerika akan naik.

Harga minyak naik?
Lihat di CNBC,
kalau harga minyak naik, emas naik.
Kalau harga minyak turun, emas turun.

Maksudnya harga minyak tidak berubah kalau kita guna matawang emas.

OPEC jangan gatal nak tingkatkan pengeluaran, kau sudah kena tipu 20 tahun.

Yang menjadikan masalah, ialah bila dollar terlungkup, matawang bukan dollar lambat naik untuk ikut nilai emas dan minyak. Malah ada negara yang mempunyai polisi supaya nilai matawangnya tidak jauh dengan dollar.

Umat Islam sebenarnya tidak nampak betapa pentingnya harga minyak berada diparas yang sepatutnya, seperti sekarang.

Akibat menggunakan sistem wang kertas yang mengagungkan US Dollar, pengguna di negara seperti Malaysia dan Indonesia terkena kesannya.

Biarlah harga minyak dalam US Dollar sampai USD 200 setong pun, asalkan harga minyak dalam matawang kita rendah.

Pemimpin negara D8 perlu berani kenakan syarat, "kalau mahu minyak, beri kami emas".

"Kalu mahu minyak sawit, beri kami emas"
"Kalu mahu getah, beri kami emas"

Jumaat, 18 April 2008

PakLah akan beri semua yang dipinta?

Semalam, berlakunya pertemuan cuepac dengan PakLah, Paklah turutkan sahaja sebahagian besar tuntutan mereka. kecuali Honorarium?.

Peperiksaan untuk naik pangkat pun dihapuskan?
Mudah benar memberi keputusan, bukankah perkara sebegitu sepatutnya dibincang diperingkat Kabinet?

Sebelum ini timbul isu syarat memaklumkan keluarga apabila memeluk islam. Ianya juga dilakukan tanpa perbincangan kabinet.

Begitu juga pengumuman memaklumkan kuota pencalonan dikekalkan untuk pemilihan UMNO, akan tetapi tiada pun mesyuarat MT UMNO yang mempersetujuinya.

Apa yang saya lihat ialah bukan isu Honorarium tiada atau ada
bukan isu ada kuota UMNO atau tidak

Akan tetapi mempersoalkan keputusan yang dibuat bersendirian seolah-olah kuasa Mutlak Perdana Menteri.

Apa akan jadi selepas ini, Persatuan X berbincang dengan perdana menteri, persatuan X dapat segalanya yang dipinta. Pertubuhan Y bincang, persatuan Y dapat apa yang dipinta.

Ianya bagi saya, satu Ancaman kepada Negara.

p/s: Ali Rustam, masa ni la nak minta jambatan ke Dumai.

Khamis, 28 Februari 2008

Harimau pula dilanggar Temasek

Kalau dahulu, kita Temasik dilanggar todak, maka datanglah Hang Nadim memberi idea untuk menggunakan batang pisang untuk mamatahkan serangan Todak.

Kini, Harimau Malaya yang garang pula dilanggar temasik. Hang Khairy dan Hang Hishamudin yang sering bermain keris, tidak terfikir untuk menggunakan batang pisang untuk menahan serangan temasek.

Bagi penyokong UMNO, kalau kita beritahu pemimpin mengamalkan rasuah, maka bagi mereka itu perkara biasa. Namun apabila rasuah untuk melibatkan penggadaian negara dan bangsa, mungkin baru tersentak.

Kita telah lihat di Negara Thailand, Negara yang menjajah Fotani DarusSalam, menjatuhkan Taksin, kerana penglibatan Thaksin dalam "menjual negara" ke Singapura dengan menjual Saham yang melibatkan kepentingan negara kepada Temasek Holding. Kita telah lihat Thaksin telah dijatuhkan oleh rakyat sendiri akibat bersetongkol dengan Temasek Holding.

Temasek Holding adalah alat pelaburan kerajaan Singapura. Umpama Khazanah Nasional bagi kerajaan Malaysia.

Sudah beberapa kali Khairy Jamaludin dikaitkan dengan Temasek Holding atau SIngapura.


Khairy menggunakan kedudukan itu untuk mendapat akses maklumat penting kerajaan bagi kepentingan perniagaan mereka, kemudiannya melaporkan maklumat-maklumat itu kepada syarikat milik Exco Pemuda Umno Malaysia yang beroperasi di Singapura yang turut terlibat dengan sebuah syarikat di Singapura untuk membeli semua asset yang tidak dikehendaki oleh kerajaan Malaysia pada harga diskaun lebih 70 peratus. Aset yang dimaksudkan adalah dalam bentuk bond, aset tidak tetap, saham-saham syarikat dan aset terbengkalai pihak swasta dan bank-bank yang diambil alih oleh kerajaan.


sumber : http://www.ladang.net.my/idimensi/modules.php?name=News&file=print&sid=755



Sebagai contohnya ialah kemasukan Temasek memiliki saham TM ataupun dahulunya dikenali sebagai Telekom Malaysia. Temasek telah membeli saham TM sebanyak 5% dengan harga RM1.6 bilion di tahap awal pentadbiran Abdullah. Ini merupakan satu isyarat urusan yang menyegarkan hubungan niaga antara dua negara yang dipisahkan oleh Tambak Johor. Seperti yang diketahui umum. Temasek adalah pemegang saham SingTel yang dinaungi oleh Lee Hsien Yang, anak bongsu Lee Kuan Yew. Ini merupakan satu urusan niaga besar yang sungguh penting. Apa yang tidak diketahui umum ialah perihal Temasek membayar komisen kepada Khairy melalui satu syarikat yang berdaftar di Singapura yang rapat dengan proksi Khairy bernama Norza Zakaria. Alamat syarikat ini ialah di Singapore Land Tower; 50, Raffles Place. Bayaran yang dibuat kepada syarikat ini ialah untuk khidmat perundingan. Yang sebetulnya itulah komisen yang dianggap rasuah juga.


sumber: http://www.marhaen.org/v1/mar_a_tag1829_24.html


Ketua Perusuh menceritakan mungkin NCER dijadikan alat penjajahan Singapura seperti WPI.

Walaupun sumber berita pihak ketiga tidak boleh menjadi bukti untuk menuduh Khairy Jamaludin menjual Malaysia ke Singapura, namun sumber berita rasmi tempatan sering kali memberitakan tentang
Penglibatan Temasek dalam dunia Perniagaan di Malaysia.


Sila google sendiri frasakata berikut untuk melihat aktiviti Temasek di Malaysia.
"site:biz.btimes.com.my temasek"

Kita akan jumpa,

Singapore GLCs eyeing Sabah ports... the interested parties could include the island republic’s investment holding companies, Government Investment Corp (GIC) or Temasek Holdings Pte Ltd.


ini berkaitan dengan SCORE,


Suatu ketika dahulu, ketika Anwar Ibrahim berucap di atas lori di Merlimau, mempersoalkan "Mana datang 40 bilion" dalam masa beberapa bulan?"

Mungkin ketika itu dia tidak terfikir akan sumber dana itu adalah dari sumber asing. Jawapannya mungkin ...
Temasek




Jumaat, 22 Februari 2008

Ruang lingkup pemikiran rakyat mestilah setakat x

Seringkali wujudnya beberapa isu, yang agak memberi kesan negatif kepada kerajaan Barisan Nasional, maka kebiasaannya akan ada "penjelasan" tentang sesuatu isu.

Adakalanya penjelasan itu agak teknikal hingga sukar difahami rakyat.

Saya ambil contoh "Isu Kenaikan Harga Barang" dan "Islam Hadhari"
.

"Islam Hadhari"

Ketika Isl*m Hadhari mula diperkenalkan sebelum pilihanraya 2004, ramai orang yang mengatakan ianya seolah-olah agama baru. Maka pihak BN cuba mengadakan "Penjelasan" supaya rakyat faham apa itu Isl*m Hadhari, Saya masih ingat lagi suatu ketika, ramai ahli politik UM/BN yang mengatakan "Masih ramai lagi yang tidak memahami Islam Hadhari", seolah-olah hukum untuk memahami Isl*m Hadhari adalah wajib.

Maka mereka kata "Islam Hadhari" bukan agama baru walaupun mengikut hukum DM, ianya seolah-olah agama baru.

Mereka kata ianya "pendekatan" dan bukan agama baru, maka kita iyakan dahulu sementara waktu.

Mereka masih lagi mahu memberi "Penjelasan", maka dikeluarkan 10 prinsip itu beserta huraiannya.

Siapa yang tak hafal 10 prinsip itu, maka dia dikira "Tidak memahami Islam Hadhari".

Maka, untuk memahami juga , maka hafal sahaja 10 prinsip itu, hafal sebiji sebiji ayatnya.

Memang 10 prinsip itu kelihatan seperti senarai 10 "perkara baik".

Maka timbul 1 lagi persoalan, adalah 10 prinsip itu cukup lengkap untuk dilabel sebagai sesuatu yang merujuk kepada Islam?

mengapa mesti ada "Kekuatan Pertahanan" sedangkan tidak diceritakan langsung tentang keselamatan kanak-kanak? Adakah dengan pertahanan kuat rakyat selamat? mengapa tidak "keselamatan terjamin" mengganti "Kekuatan Pertahanan"?

Oh, Jangan dipersoalkan 10 prinsip itu, sekiranya dipersoalkan, anda akan ditakrifkan sebagai "Tidak memahami Islam Hadhari"

Jangan dipersoalkan Nama "Islam Hadhari" sepatutnya "Hadharah Islamiyah" kerana ia akan menjadikan anda sebagai "Tidak memahami Islam Hadhari".

Dipendekkan cerita, untuk dijadikan sebagai seseorangitu memahami Islam Hadhari, mereka mahukan kita memahami ikut setakat mana yang mereka mahu kita faham, tak boleh lebih, tak boleh kurang. Itulah ruang lingkup pemikiran yang disediakan.

Adakah anda ingin "Memahami Islam Hadhari"?


Isu Kenaikan Harga barang

Banyak kali kerajaan BN cuba menberi "penjelasan" tentang isu kenaikan harga barang, saya tahu memang ramai pembangkang yang tak faham konsep mekanisme pengawalan harga, saya akui, kalau mengikut sistem sedia ada, memang sukar untuk mengawal harga. Akan tetapi Rakyat hanya mahukan hasilnya, hasilnya mestilah harga yang mampu dibeli oleh rakyat.

Maka dicadangkan "Penjelasan" untuk memaksa rakyat memahami "Isu kenaikan harga barang". Memang kerajaan membayar "subsidi" untuk mengurangkan harga barang, akan tetapi punca kenaikan tidak ditangani.

Bersungguh2 mereka cuba menerangkan mekanisme pengawalan harga, perbandingan harga dengan negara jiran, seolah2 itulah yang terbaik.

Maka bila dibandingkan harga barangan dalam ringgit yang lemah, dengan barangan didalam matawang asing dinegara lain, memanglah barangan kita kelihatan lebih murah, akan tetapi dari sudut pendapatan perkapita, rakyat Malaysia jauh lebih rendah.

Oh tunggu, "Pendapatan perkapita" dan "Nilai Matawang" tidak dimasukkan dalam buku kecil "Penjelasan Mengenai Subsidi Dan Kenaikan Harga Barang".
Nanti akan akan dilabel sebagai "tidak memahami isu kenaikan harga barang".

Jangan dipersoalkan kenapa Paklah lambat lepaskan tambatan ringgit yang menjadi faktor kenaikan harga barang, nanti anda akan dikira sebagai "tidak memahami isu kenaikan harga barang"

Dalam mukasurat 11, buku tersebut...

Walaupun Malaysia merupakan pengeluarkan utama minyak sawit mentah dunia, komoditi tersebut diniagakan dalam US Dollar dan penentuan harga bergantung kepada keadaan pasaran antara bangsa.
Jangan dipersoalkan kenapa sebahagian dari minyak sawit tidak boleh diniagakan pada pasaran tempatan mengikut mekanisme penentuan harga tempatan. Nanti anda akan dikira "Tak Memahami isu kenaikan harga barang".

Jangan dipersoalkan ketuanan US Dollar, nanti anda akan dikira "Tak Memahami Isu Kenaikan Harga Barang".


Sudah banyak kadi saya tulis, tentang faktor matawang menjadi faktor kenaikan harga barang, Bagi saya, nilai sebenar ringgit ialah 1USD = RM 2.30 dan bukannya RM 3.20 seperti hari ini.

Maka, sila lihat sendiri berapa harga barangan negara kita berbanding negara jiran.

Perkara yang anda perlu lakukan ialah pergi ke bilik gerakan BN berdekatan, dapatkan buku, "Penjelasan Mengenai Subsidi Dan Kenaikan Harga Barang" dan baca dan fahamkan, tapi jangan faham setakat apa yang mereka mahu anda faham. Anda kena kira..

Andaikata nilai ringgit ialah 1USD = RM 2.30, (iaitu kenaikan ringgit adalah 40%)

buka halaman 19, perbandingan harga barangan Malaysia dengan negara Jiran.
Sekiranya Ringgit meningkat 40%, maka:-
(darabkan harga dalam USD dengan 1.4)
  • Harga LPG kita adalah 0.72 USD/KG lebih kurang Kuawit 0.79 USD/KG
  • Harga tepung gandum menjadi 0.58USD/KG, sudah menghampiri Harga Indonesia
  • Harga gula menjadi 0.63USD/KG, sudah lebih mahal pula dari Thailand yang 0.57USD/KG
  • Harga Ayam, menjadi 7.79 USD/KG, sudah lebih mahal dari Singapura.

Saya tak nafikan Akta kawalan bekalan telah banyak membantu menstabilkan harga, akan tetapi apabila matawang ringgit rendah, terlalu banyak "subsidi di_atas_kertas" diberikan, sehingga sistem makanisme penentuan harga dan kawalan bekalan menjadi kelangkabut.

Puncanya perlu diatasi iaitu Nilai matawang. Selain itu mekanisme penentuan harga perlu dirombak, yang penting sekali olahkan ia supaya rakyat mampu dan bekalan mencukupi. Jangan persoalkan berapa banyak subsidi_diatas_kertas dibayar oleh kerajaan kerana ia hanya di atas kertas.

Akan tetapi jika persoalan matawang dimasukkan ke dalam isu itu, maka siapa yang faham lebih akan menjadi "Tidak memahami Isu kenaikan harga barang".

Janganlah suruh rakyat memahami juga "penjelasan" tentang isu harga barang yang begitu teknikal bagi orang kampung akan tetapi setakat "x" sahaja. (x ialah ruang lingkup pemikiran rakyat, tak boleh tahu lebih-lebih).

Rakyat hanya mahukan hasil (harga barang murah, dan bekalan cukup). persetankan mekanisme penentuanharga, akta kawalan bekalan, ianya bukanlah sesuatu yang semua rakyat perlu tahu dan faham.

Selasa, 19 Februari 2008

Operasi Bay of Pig berjaya?

Akhirnya Fidel Castro meletak jawatan, segala usaha Amerika sejak 1959 untuk menjatuhkan Castro akhirnya berjaya. Dia sendiri meletak jawatan.

Pembunuhan Presiden Kennedy, juga dikaitkan dengan keengganannya untuk menyerang Cuba. Jika JFK bersikap seperti Bush 2 beranak, maka mungkin JFK tidak ditembak.

Bush, Presiden Amerika dan Britain, secepat kilat ingin mengiklankan Ideologi Demokrasi untuk dieksport ke Cuba. Mungkin sebagai bahan tukaran kepada curut.

Pengganti Presiden Bush, pasti akan pening kepala melihat, apabila Fidel Castro meletak jawatan, rupanya masih ada lagi 1 Castro.

Dijangkakan pada 2028, Amerika akan mengistiharkan kemenangan menentang "Keganasan" apabila Osama bin Laden meletak jawatan AQaeda.

Di Malaysia, Abdullah Hj Ahmad mungkin terlupa untuk mengeksport Isl*m Hadhari ke Cuba kerana sibuk melihat cermin sambil melihat gambar orang utan.

Rabu, 13 Februari 2008

Video Pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri



Walaupun banyak Saranan oleh Lim Kit Siang supaya Parlimen tidak dibubarkan sebelum Chap Goh Mei, namun Pak Lah Tetap membubarkan Parlimen.

Adakalanya sistem pemerintahan kita terlalu huduh, apabila pengumuman rasmi sebegitu tidak kelihatan adil apabila pihak yang bertanding yang mengumumkannya. Dan soalan tentang parti dan persiapan juga dijawap ketika itu.


Apa kata kalau pengumuman pembubaran Parlimen diumumkan oleh pemegang mohor besar seperti Hari Raya?

Selasa, 15 Januari 2008

Ramalan Tarikh Pilihanraya 23 mac 2008?

Tarikh pilihanraya memang menjadi spekulasi ramai orang, hampir kesemua meneka ianya akan berlaku sebelum april, kerana selepas april, Anwar Ibrahim dibenarkan untuk bertanding.

Selain daripada kalendar masehi , Kalendar hijrah dan kalendar cina dijadikan rujukan, Kalendar F1 tidak dikecuali dijadikan rujukan untuk menetapkan tarikh pilihanraya.

Berdasarkan pada pilihanraya 2004, Pilihanraya dijalankan serentak dengan hari perlumbaan Formula 1 GP Malaysia, bersamaan hujung minggu ke-2 kalendar F1.

Walaupun membuatkan pilihanraya serentak dengan penganjuran Formula 1 adalah sesuatu yang tidak kena, akan tetapi perkara itu tidak mustahil bagi PakLah, kerana dia telah melakukannya sebelum ini. Dan tidak dinafikan PakLah mampu untuk mengulangi sejarah dan seterusnya mencatat rekod dunia, satu-satunya pemimpin yang membuat pilihanraya serentak dengan F1 selama 2 kali. Pasti rekod ini tidak akan dipecahkan oleh negara lain.

Jadi dengan ini saya meramalkan pilihanraya adalah 23 Mac 2008, berdasarkan sikap PakLah yang suka melihat Ejen mengundi, Ejen pengiraan tidak dapat pergi ke Sepang.

Pemandu BMW Sauber, Robert Kubica, diramal akan meletak keris pada bendera negaranya, supaya ia akan kelihatan seperti bendera UMNO.



Tarikh pilihanraya 2008 yang serentak dengan perlumbaan F1, dipilih kerana untuk memastikan Giancarlo Fisichella tidak berkempen bagi pihak HINDRAF.

Selasa, 1 Januari 2008

Tahun baru, Tamatnya jaminan tidak menaikkan harga minyak.

Pada 31 Disember 2007, apabila menjelang 2008, ramai yang sudah tahu, tamatnya jaminan Perdana Menteri minyak tidak dinaikkan "tahun ini".

Saya telah bersedia lebih awal, sejak awal disember, kerana jualan minyak pada krismas dan Hari Raya Korban tidak boleh diduga. Jadi saya telah membuat pengubahsuaian pada pesanan supaya tangki penuh pada 31 Disember.

Walaupun saya amat pasti minyak tidak akan dinaikkan sebelum pilihanraya, akan tetapi langkah berjaga-jaga perlu diambil.

Akan tetapi pengguna lebih kedepan dalam mengetahui tentang kenaikan harga minyak. Pada petang hari, wawa menelefon saya untuk kepastian kenaikan harga minyak, kerana menurut nabora, telah heboh berita tentang kenaikan harga minyak. Akan tetapi saya sendiri tidak pula mendapat SMS tentang kenaikan harga minyak.

Ada yang begitu yakin ia akan dinaikkan 40 sen. Walaupun jam sudah melebihi 12 pagi, mereka tetap datang dengan penuh yakin. Mereka berasa lega kerana harga minyak belum dinaikkan.


Kemudian ada lagi satu khabar angin yang mengatakan harga minyak akan dinaikkan pada hari khamis atau jumaat. Samada ianya realiti atau tidak, saya pun tak tahu.

Pagi tadi saya terfikir, apa akan jadi pada subsidi nelayan jika harga minyak dinaikkan? Nelayan akan membayar RM 1 seliter atau ditambah sedikit dengan kenaikan itu? Buat masa ini belum ada berita dari LKIM.

Rabu, 28 November 2007

Bayar sajalah RM 380juta untuk konsesi tol

Baru baru ini banyak kedengaran tentang tol akan dinaikkan, ada juga rakan saya yang mengatakan terbukti tol akan dinaikkan.

Sammy Vellu mengatakan

"Kerajaan terpaksa membayar pampasan berjumlah RM380 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya jika kadar tol tidak dinaikkan pada tahun hadapan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S. Samy Vellu."

Maka pada pendapat saya, bayar sajalah RM 380 juta itu.

Persoalan seperti:-
  • Siapa pemilik syarikat konsesi?
  • Bagaimana perjanjian konsesi boleh dilakukan jika ia terang-terang menyusahkan rakyat?
  • Apa kandungan perjanjian itu?

Boleh difikirkan semasa hampir pilihanraya nanti.

Jadi buat masa ini, bayar sajalah RM 380 juta itu.

Kerajaan pusat tiada duit? boleh kutip hutang dari kerajaan negeri yang berhutang dengan kerajaan pusat sebagai contoh Kerajaan Negeri Melaka.

Dengan hutang sebanyak RM 1 bilion, sekiranya Ali Rustam bayar 1/3 sahaja dari hutang itu, maka kerajaan pusat cukup wang untuk bayar syarikat konsesi.

Mari kita lihat apa yang Ali Rustam buat dengan duit yang dipinjam itu.

Bina semula kota belanda, menggunakan batu baru.


Buat menara entah apa gunanya. Dengarnya "Taming Sari"

Kompleks baru (kos untuk menutup pembinaannya semasa PakLah datang Melaka dulu pun sudah satu juta)


Jadi, Untuk memastikan tol tidak naik, Kerajan Pusat jangan tangguh, Minta hutang dari Ali Rustam dan bayar sahajalah RM 380 juta itu.

Sabtu, 10 November 2007

Formula Rombakan Subsidi Minyak

Khairy Jamaludin adalah seorang ahli Politik yang cukup opportunis, adakalanya dia terlalu opportunis sehinga melampau sehingga menghijack acara orang lain untuk tujuan politiknya.

Suka hati dia lah.

Isu subsidi minyak memang menjadi isu negara sejak lebih kurang 5 tahun kebelakangan ini. Apabila wujudnya subsidi maka, ramai juga yang suka menyeludup disel ke Negara Jiran. Dengan harga semasa yang begitu tinggi, ianya pasti berlaku walaupun tidak kedengaran berita tentang Tangkapan Penyeludup.

Setelah beberapa berkecimpung dalam politik, akhirnya KJ bersuara tentang Subsidi minyak, walaupun pada perkiraan saya, ia adalah amat-amat terlewat.


Namun sekiranya dia tidak menyuarakan , mungkin Pak Lah akan terus tidur.

Ianya memang terlewat. 3, 4 tahun lepas ketika harga minyak dunia tidak terlalu tinggi macam hari ini, maka ketika itu sesuai untuk mengapungkan harga minyak.

Sudahlah kita terlalu lewat untuk melepaskan tambatan ringgit terhadap USD, apungkan harga minyak pun terlewat.


Kedengaran juga Najib berkata tentang mencari formula baru untuk subsidi minyak. Dulu kedengaran suara Najib juga menyerankan blog dipantau sehingga nama blog ini menjadi " Blog Tak Berdaftar Yang Perlu Dipantau"

Kenapa tak pantau?

Bukankah formula itu berada di sini?

Perkara pokok di sini ialah kita perlu meningkatkan nilai ringgit ke tahap suatu ketika dahulu. Lebih kurang RM 2.50 == 1 USD. Maka selepas itu barulah distabilkan nilai ringgit.

Kalau tak cukup formula, saya tambah lagi 1 formula.

Formula Subsidi minyak sebol

setelah nilai ringgit mengukuh berbanding dollar DAN matawang asing lain, dan diikat sedikit dengan emas (20%), maka dijangkakan, sekiranya harga minyak dunia naik lagi (dan Emas juga naik), ringgit kita akan turut meningkat, dan seterusnya harga minyak semasa bagi orang malaysia, tidak begitu meningkat.

Kemudian, kita tiru Indonesia sedikit dengan membuat petrol 2 gred. Satu harga tanpa subsidi, satu lagi harga dengan subsidi.

sebagai contoh, RON 92 bersubsidi, RON 97 tanpa subsidi.
ATAU

bunuh RON 92,
dan jadikan RON 95 bersubsidi dan RON 98 tanpa subsidi.

Minyak RON 95 bersubsidi itu juga boleh dihadkan penjualannya.
20 liter sehari, 30 liter sehari.

Maka sekurang-kurangnya , orang kaya yang ingin bergaya dengan Mercedesnya boleh terus tuang penuh RON 98 tanpa subsidi.

Apabila Ringgit mengukuh dan terus mengukuh (kalau Ringgit ditambat sedikit dengan emas), minyak RON 95 yang bersubsidi itu boleh dihapuskan subsidinya dan ketika itu Rakyat mampu membelinya.

Sementara Harga NGV masih rendah, maka Apungkanlah harganya sekarang.
Jangan tunggu bila dah terlewat baru mula nak "mencari formula"?

Isnin, 29 Oktober 2007

Harga Minyak naik? matawang, pendapatan perkapita

Harga Minyak dunia yang dikira dalam USD, nasik sehingga mencecah USD 92.xx.

Maka seperti biasa, pembangkang akan mengatakan kerajaan akan menaikkan harga minyak selepas Pilihanraya atas alasan untuk sengaja menyusahkan rakyat.

Ada juga yang mengatakan bahawa PETRONAS yang akan meminta supaya harga minyak dinaikkan.

Dan kerajaan memerintah tanpa fikir panjang akan menaikkan harga minyak selepas pilihanraya.
dan apabila harga barang naik, kerajaan akan menyalahkan peruncit kerana menaikkan harga.

Dan PETRONAS akan untung besar kerana bukan sahaja dapat menjual minyak yang dikorek di Malaysia dengan harga tinggi, minyak negara orang lain pun keuntungannya dibawa ke negara kita.

dan ramai akan mengatakan kita patut gunakan keuntungan PETRONAS untuk subsidi minyak. Tetapi tidak mempersoalan kenapa keuntungan Shell, Caltex, Exxon Mobil boleh dibawa ke negara asal mereka.


Pada pendapat saya, Subsidi minyak itu adalah subsidi yang tidak adil, kerana pengguna Mercedes mata belalang dapat lebih subsidi berbanding dengan penunggang motosikal modenas.

Walaubagaimanapun ia amat perlu untuk mentabilkan harga minyak yang dibeli oleh pengguna.

Ketika zaman 1 USD = RM 2.50, ianya amat relevan kerana, harga minyak pengguna boleh kekal RM 1.13 agak lama.

ketika itu, adakalanya rakyat dapat subsidi, adakalanya kerajaan jual minyak lebih mahal kepada rakyat.
Tiada sesiapa yang komplen, walaupun ketika itu adakalanya kerajaan ambil subsidi dari rakyat.

Zaman ini, nilai ringgi kita rendah, pusing macam mana pun, kerajaan tetap kena beri subsidi minyak.


Bagi saya, tak mengapa kalau dihapuskan subsidi minyak kalau rakyat kita mampu.
Akan tetapi yang dipersoalkan mengapa pendapatan perkapita rakat tempatan rendah, dan nilai ringgit juga rendah.

Suatu ketika dulu, mantan PM (yang memecat TPMnya), telah menambat nilai ringgit kepada 1 USD = RM 3.8, kerana ketika itu, nilai ringgit telah jatuh lebih teruk. Ianya bagi saya sesuai dengan keadaan ketika itu.

Namun setelah pemulihan ekonomi, Pak Lah menjadi PM, dia amat leka dengan 'Islam Hadhari'. Sejak dia menjadi Perdana Menteri, tiak pernah sentuh soal ekonomi selama beberapa tahun. Agak menghairankan juga kerana dia memegang tampuk menteri kewangan.


Suatu ketika, nilai ringgit patut dilepaskan tambatannya dengan lebih awal, namun ia dilepaskan amat lewat, itupun diumumkan oleh Zetty, dan bukannya PakLah atau menteri kewangan.

Disebabkan kelewatan itu, negara kita rugi banyak.

menurut graf yang perbandingan nilai Ringgit, Dollar Singapura dan Bhat Thailand berbanding Dollar Amerika.

Bhat Thailand meningkat 40% berbanding USD
Dollar Singapura 20% berbanding USD
Ringgit Malaysia hanya menokok 10%




Mari belajar Matematik secara subversif.
Sekiranya Pak Lah melepaskn tambatan ringgit lebih awal, dan nilai ringgit meningkat 33%.

3.8 - 33/100 =2.546

1 USD = RM 2.546

Sudah jadi balik asal ketika sebelum gawat.
Walaupun harga minyak dunia dalma USD naik, harga minyak petrol tanpa subsidi mungkin hanya RM 1.50 seliter.

Takkan ku maafkan kesilapan PakLah lewat melepaskan tambatan Ringgit.

Jumaat, 7 September 2007

Belanjawan , kali, campur adalah Istilah Subversif



Masih tidak saya lupakan pada perbentangan Belanjawan beberapa tahun terdahulu, oleh Mantan Perdana Menteri, 'Che Det', di mana dia telah MEMBUNUH istilah Bahasa Melayu bagi 'Budget'.

Berbanding dengan mantan Menteri Kewangan yang tersohor sebelum itu, sering pula menggunakan pembentangan belanjawan untuk mempromosikan istilah baru atau istilah lama tapi diberi nafas baru.

PakLah, langsung tak endah tentang bahasa, masih lagi terbawa ideologi menurut ideologi Dr.M. Apa salahnya dia hidupkan kembali Istilah "Belanjawan" itu?

Kemudian, beberapa tahun lepas juga, banyak istilah Sains dan Matematik Bahsa Melayu dibunuh dengan rakusnya oleh Dr.M . Namun bila tampuk pemerintahan ditukar, tiada apa yang berlaku. Langsung tak diendahkan langsung Sang Perdana Menteri itu.

Tapi tidak mengapa, kita masih lagi boleh menggunakan istilah "Belanjawan" secara subversif.

Suatu ketika dahulu, kita menggunakan istilah 'kali' dan 'campur', istilah itu telah ditukar kepada 'darab' dan 'tambah' pada era pentadbiran mantan Menteri Pendidikan yang tersohor itu. (dia lagi).

Memang tidak dinafikan, istilah baru itu lebih menggambarkan maksudnya sebenar, berbanding kali dan campur. Ketika itu, istilah 'kali' dan 'campur' digunakan secara subversif oleh golongan yang lahir sebelum 1975.

Namun, Pada pemerintahan Mantan Perdana Menteri yang tersohor itu, tak kiralah samada 'campur' atau 'tambah' atau 'kali' atau 'darab', kesemuanya jadi istilah subversif.

Eh, tunggu sekejap, bukankah Bahasa Melayu itu milik orang melayu dan bukannya hanya orang melayu Malaysia sahaja. kini tahun 2007, di Singapura, Kumpulan Rap yang tersohor, Ahli Fiqir, masih menggunakan mungkin Anwar Ibrahim lupa nak mempromosikan istilah 'darab' dan 'tambah' ke Singapura.

lihatlah dan dengarlah akan lirik lagu 2x5 Ahli Fiqir

kwek kwek kwek kwek kwek kwek
kwek kwek kwek kwek kwek kwek

kali bahagi tolak campur
hilanglah geli kerana geli

dua kali lima sepuluh
lima kali dua sepuluh
lapan campur dua sepuluh
dua campur lapan sepuluh

sama pandai sama bodoh
sama lawa sama hodoh
sama cerdik sama belok
sama tenpok sama bokok


Tidakkah mereka masih lagi menggunakan 'kali' dan 'campur'?

Jadi, sebagai pengguna istilah subversif Bahasa Melayu, istilah subversif mana yang kita hendak gunakan?

Kali atau darab?
campur atau tambah?

Bercakap fasal subversif, di Negeri Selangor bulan puasa kelak, ramai yang terpaksa Solat Tarawikh 8 rakaat secara Subversif


p/s: Kak Jie tolong carikan lagu 2x5 Ahli FiQir.

Rabu, 1 Ogos 2007

Pecah dan Perintah versi PakLah dan "Melabel"




Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER). ?
Wilayah bla bla Selatan?

Aku rasa sesuatu tak kena.
Tak wajar kekayaan Negara diperuntukkan untuk sesuatu kawasan sahaja.
Asalnya, kalau semasa zaman Dr.M , dia amat suka majukan Putrajaya dan Langkawi.
Kalau diperingkat Melaka, Ali Rustam gemar majukan Ayer Keroh.
Kalau masa zaman pemerintahan PakLah, sekejap di Terengganu, sekejap di "Wilayah Selatan" dan kini NCER.
Untuk memuaska hati banyak pihak, NCER diperluaskan untuk memuaskan hati.

Jadi, kalau ikut gaya PakLah, projek khas untuk kawasan ini, kemudian projek khas untuk kawasan itu, projek khas untuk kawasan n (n = Integer).

Ratus billion untuk Selatan, Ratus bilion untuk Utara.

Dengan adanya projek khas dari kerajaan pusat untuk kawasan tertentu, maka penduduk kawasan tertentu akan gembira dan berterima kasih kepada PakLah.

Aku tak nampak apa kelebihan NCER. Setakat mempercantikkan instaruktur yang sedia ada.
(Kerajaan British dah buatkan laluan keretapi khas ke Butterwoth)

Kemudian kawasan-kawasan di"label"kan dengan industri tertentu.

Kalau di Melaka, sesuatu yang hampir sama berlaku, beberapa kawasan dilabel sebegitu untuk menjadikan "Satu Zon Satu Industri".

Langkah sebegitu terlalu artificial dan tak realistik.

Suka hatilah sesiapa untuk lakukan apa yang dia nak lakukan.

Adakah dengan melabel sesuatu kawasan dengan industri tertentu, adakah secara automagik penduduk disitu akan menceburi industri itu?

Adakalanya pembangunan boleh berlaku secara semulajadi, kalau kena dengan sebab musababnya.

Kalau dulu, Ipoh dan KL maju secara automagik bila adanya Bijih timah.
Kerajaan British tidak pula melabel Ipoh dan Kuala Lumpur "zon bijih timah".


Banyak bandar di malaysia maju sendiri apabila ia ada muara sungai.
(Ya Faktor Pengangkutan).

Adakalanya kemajuan boleh disebabkan oleh faktor kerajaan, ada kalanya ia dimajukan atas sebab-sebab yang telah sedia ada, oleh faktor kerajaan atau faktor keluasan pasaran yang ada.

Google+ Hasbullah Pit