test

Rabu, 23 Januari 2008

Tak Restu 13 Mei Berulang

Sila terbitkan kenyataan bersama ini di blog anda jika anda tidak merestui politik ugutan sehingga Chew menarik balik kenyataanya dan meminta maaf. [Klik sini untuk versi Melayu dan Cina.]

Tak Restu 13 Mei Berulang

- Ahli Parlimen Chew Mei Fun mesti tarik balik and minta maaf atas kenyataan beliau

Kami, badan-badan masyarakat madani dan warganegara prihatin yang berbagai kaum, agama dan latarbelakang, menegaskan bahawa semua anak Malaysia mempunyai hak untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan malalui pilihanraya yang bebas, adil dan bersih. Tiada ahli politik atau parti politik harus menggunakan ugutan atau ancaman untuk mempengaruhi para pengundi.

Kami kesal bahawa Datin Paduka Chew Mei Fun, Ahli Parlimen untuk Petaling Jaya Utara (MCA), seperti yang dilaporkan oleh China Press pada Januari 21 (Isnin) telah mengeluarkan kenyataan yang bersifat ugutan atau ancaman: “Jika tiada perwakilan Cina yang mencukupi dalam BN, ia bukanlah sesuatu perkara yang baik, komuniti Cina tidak sanggup menanggung lagi satu insiden Mei 13.

Rusuhan kaum Mei 13, 1969 sememangnya suatu episod gelap dalam sejarah Malaysia di mana keganasan dan manipulasi politik telah menindas proses demokratik dan suara para pengundi. Pembangkitan insiden pahit ini demi kepentingan politik bersifat menghina mangsa yang terkorban, mangsa yang terselamat dan juga keluarga mereka. Tindakan Chew yang bertujuan menjadi amaran kepada pengundi supaya tidak menyokong parti pembangkang adalah perbuatan keji dan tidak mempamerkan sifat seorang pemimpin yang berwibawa.

Sekiranya Chew sememangnya mengetahui apa-apa maklumat tentang pihak tertentu yang berhasrat untuk menggunakan keganasan akibat keputusan pilihanraya yang tidak memuaskan, beliau yang selama ini giat membangkit isu keselamatan awam patut serta-merta membuat laporan polis dan membantu dalam penyiasatan polis.

Sekiranya beliau sekadar berspekulasi, kami berasa amat kecewa kerana beliau sanggup melakukan apa saja untuk mengumpan undi. Ahli politik tidak patut berkelakuan selolah-olah anggota kongsi gelap. Mereka tidak patut menggunakan keganasan sebagai ancaman untuk meraih undi sepertimana anggota kongsi gelap memeras wang.

Pada hakikatnya, Chew telah melanggar Seksyen 9 (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954:

Pengaruh tidak wajar

9. (1) Tiap-tiap orang yang, sebelum, semasa, atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain bagi pihaknya, menggunakan atau mengancam hendak menggunakan apa-apa kekerasan, keganasan atau halangan, atau yang mengenakan atau mengancam hendak mengenakan, dengan sendirin atau melalui mana-mana orang lain, apa-apa bencana, kecacatan, kerosakan atau kerugian keduniaan atau kerohanian ke atas atau terhadap mana-mana orang bagi mendorong atau memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi, atau oleh sebab orang itu telah mengundi atau tidak mengundi, dalam mana-mana pilihan raya, atau yang dengan melarikan pemilih atau pengundi, dengan dures atau apa-apa tipu daya atau muslihat menghindar atau menahan mana-mana pemilih atau pengundi daripada menjalankan hak mengundinya dengan bebas, atau yang dengan yang dengan itu memaksa, mendorong, atau mendesak mana-mana pemilih atau pengundi sama ada memberi atau tidak memberi undinya dalam mana-mana pilihan raya, atau yang secara langsung atau tidak langsung mengganggu atau cuba mengganggu mana-mana orang daripada menjalankan hak pemilihannya dengan bebas adalah bersalah atas kesalahan pengaruh tak wajar.

Sementara menunggu Suruhanjaya Pilihanraya menyiasat dan membuat laporan polis mengenai kes ini, kami menyeru Chew supaya menarik balik kenyataan beliau dan memohon maaf. Beliau mesti mengecam dengan sekeras-kerasnya sebarang kes keganasan politik. Pengundi berhak memilih mana-mana calon atau parti pilihan mereka dalam suasana yang bebas dari unsur-unsur ugutan dan intimidasi.

Kami juga menyeru YAB PM Dato’ Seri Abdullah Badawi untuk menafikan sebarang kaitan antara kerajaan dan partinya dengan kenyataan Chew yang berpotensi menakutkan pengundi. YAB juga harus mengutuk dengan sepenuhnya sebarang ugutan dan ancaman ke atas pengundi.

Kita tidak boleh biarkan Malaysia senasib negara di mana keganasan politik berleluasa eperti Pakistan. Kita tidak boleh biarkan mana-mana pihak bermain dengan api. Kita mesti menolak dengan sepenuhnya sesiapa yang cuba menggunakan insiden pahit Mei 13 untuk mengancam rakyat Malaysia.

Individu-individu atau badan-badan masyarakat madani yang pro-demokrasi diminta menyokong kenyataan ini dengan memaparkannya di premis, kenderaan atau mukasurat pertama blog atau laman web mereka, sebagai tanda pengiktirafan, sehinggalah Chew menarik balik kenyataannya dan meminta maaf.

0 comments:

Catat Ulasan

Google+ Hasbullah Pit